Jangkitan masih tinggi, Cuepacs gesa kekalkan dulu "work from home'

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Putrajaya untuk terus mengekalkan dasar bekerja dari rumah.

Gesaan itu disuarakan presidennya, Adnan Mat setelah angka jangkitan Covid-19 dalam negara dilihat masih tinggi.

“Bekerja dari rumah mula menjadi norma dalam perkhidmatan awam dan amalan tersebut masih lagi membolehkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat terus beroperasi seperti biasa.

“Amalan bekerja dari rumah tidak akan mengganggu sistem penyampaian perkhidmatan awam sekiranya ia disusun dengan sebaik mungkin.

“Cuepacs berpendapat amalan ini wajar diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Putrajaya baru-baru ini mengumumkan bahawa dasar bekerja dari rumah untuk sektor awam dan industri di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditarik balik mulai Khamis.

Jumlah petugas dibenarkan di kawasan PKPB iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah 30 peratus terdiri daripada kakitangan pengurusan.

Walau bagaimanapun Adnan berkata, dasar itu perlu dikekalkan sehingga situasi pandemik bertambah baik atau sehingga imuniti berkelompok dicapai.

Sementara itu, Adnan turut menekankan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengedarkan pekeliling atau arahan kerana dasar itu tidak pernah dimansuhkan.

 Adnan gesa teruskan dasar bekerja dari rumah
Beliau turut menasihati sektor swasta untuk tidak terburu- buru memulakan operasi pada kapasiti penuh sebaliknya menggesa pertimbangan daripada sudut kemampuan untuk mematuhi SOP.

“Sebelum ini segala SOP yang ditetapkan dilihat gagal dipatuhi sehingga mengakibatkan tercetusnya kluster ditempat kerja,” katanya.

Post a Comment

0 Comments