Jangan 'pintas' keputusan KPN , kata Ahli Parlimen KEADILAN


MENTERI Dalam Negeri Hamzah Zainudin diminta tidak mencampuri urusan pertukaran pegawai kanan polis selepas diputuskan pemimpin tertinggi mereka.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam satu kenyataan.

Tegas bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu, Hamzah tidak mempunyai kuasa melangkaui undang-undang untuk campur tangan dalam ketetapan dibuat ketua polis negara walaupun  negara kini berada dalam darurat dan parlimen digantung.

"Hamzah tidak ada kuasa di bawah undang-undang untuk menangguhkan, apatah lagi menggagalkan keputusan yang telah diambil oleh ketua polis negara," katanya.

Hassan mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang mahu Hamzah dalam masa terdekat untuk meneruskan semula pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

Sebelumnya di media sosial ada hantaran tular yang mendakwa berlaku campur tangan dari Kementerian Dalam Negeri dalam hal ehwal PDRM. Hamid berkata, beliau dimaklumkan ada arahan agar pertukaran tersebut ditangguhkan pada saat-saat akhir.

“Saya akan berjumpa dengan Menteri untuk menjelaskan kedudukan saya, tindakan saya keluarkan perintah pertukaran…. pegawai kanan polis dilaksanakan.

"Saya sebagai Ketua Polis Negara, dalam undang-undang itu mengatakan bahawa ‘the command and control’, kawal selia polis adalah tanggungjawab saya,” kata Abdul Hamid ditemui pemberita pada satu majlis di Klang baru-baru ini.

Sementara itu tegas Hassan, sekiranya berlaku campur tangan menteri dalam isu tersebut, ia merupakan tindakan yang serius.

"Walaupun sekarang negara berada dalam keadaan darurat dan parlimen digantung, tidak bermakna Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa yang melampaui peruntukan undang-undang sehingga mengganggu bidang kuasa ketua polis negara," katanya.

"Sebagai ahli parlimen, saya menasihatkan Hamzah menarik balik arahannya yang meminta ketua polis negara menangguhkan keputusan pertukaran pegawai-pegawai kanan polis.

 Beri ruang untuk KPN jalankan tugas


"Ketua polis negara mesti diberi ruang dan sokongan semua pihak untuk membasmi jenayah di negara ini dan menjadikan PDRM sebuah agensi yang menjaga keselamatan dan ketenteraman awam secara profesional, cekap dan amanah," katanya.


Untuk rekod, Hassan merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan Dewan Rakyat.

Post a Comment

0 Comments