Hishammuddin langgar adat diplomatik, kata bekas Menteri Luar


BEKAS Menteri Luar, Anifah Aman tampil pemimpin terbaharu mengkritik tindakan Hishammuddin Hussein menggelar “abang besar” yang diberikan  kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi.

Beliau berkata, selaku menteri luar, ungkapan yang digunakan Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai, tetapi dengan jelas meletakkan menteri luar China itu dalam kedudukan sukar dan memalukan.

Tindakan Hishamuddin itu tegasnya telah melanggar adat diplomatik yang diamalkan negara ini.

“Bahasa tubuh Wang Yi menjelaskan segalanya, dan beliau dengan cepat berkata ‘kita bersaudara’.

“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijak memilih perkataan atau ungkapan. Seperti kata pepatah, diplomasi adalah barisan pertama pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini, Hishammuddin dilaporkan memberitahu Wang Yi yang beliau akan sentiasa menjadi “abang besar” kepadanya, manakala Wang membalasnya dengan berkata: “Kita bersaudara”.

Susulan tindakan 'terlepas cakap' itu, anak perdana menteri ketiga, Tun Hussien Onn itu dikritik teruk. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan gelaran itu satu penghinaan terhadap negara dan insiden itu secara tidak langsung memberi mesej jelas kepada dunia luar yang Malaysia bukan lagi negara berkecuali.

Manakala sekumpulan pemerhati hubungan antarabangsa mahu Hishamuddin memberi penjelasan berhubung penggunaan istilah itu yang menurut mereka boleh disalah tafsir bahawa Malaysia tunduk kepada China.

Susulan itu Hishammuddin kemudiannya menjelaskan ungkapan itu sebagai tanda hormat dan tidak merujuk hubungan dua hala Malaysia-China kerana hubungan yang terjalin sejak sekian lama itu berdasarkan kesaksamaan serta kepercayaan bersama.

Hishammuddin mesti terima hakikat buat kesalahan
Sementara itu tambah Anifah berkata, Hishammuddin perlu menerima hakikat beliau melanggar adat diplomatik, bukannya terus berdebat dan cuba mewajarkan pilihan ungkapan yang salah itu.

“Ia cukup salah untuk melanggar adat diplomatik, namun untuk berdebat dan cuba mewajarkannya jelas menunjukkan keperibadian sebenar individu berkenaan.” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments