PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan perkembangan politik semasa yang menyaksikan ancaman Umno yang mahu menarik balik sokongan mereka kepada Perikatan Nasional yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkara itu dinyatakan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil yang menjangkakan kerajaan PN bakal tumbang bila-bila masa selepas Ogos ini.
“Setiap hari, ada saja krisis yang mempengaruhi PN, Umno boleh menarik diri (daripada kerajaan) bila-bila masa.
“Sejauh mana kerajaan stabil?” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Fahmi berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan KEADILAN Bahagian Lembah Pantai pada Ahad.
Sebagai rekod, Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) baru-baru ini meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
Usul Ucapan Dasar Presiden itu diluluskan sebulat suara selepas dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad dan disokong oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Johari Ghani.
Pada perhimpunan itu juga timbul gesaan terutama dari Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya menteri dan timbalan menteri Umno dalam kerajaan PN segera meletak jawatan susulan keputusan parti itu untuk menghentikan kerjasama dengan Bersatu.
Kedua-dua parti itu kini saling bertentangan dengan sekutu antara mereka, PAS dilihat terpaksa memilih antara satu sekiranya kedua-dua parti itu tidak lagi menjadi sekutu politik pada PRU akan datang.
Sementara itu, Fahmi merujuk perpecahan antara Bersatu dan Umno adalah 'masalah dalaman', tetapi parti lain boleh belajar daripadanya bagi mengelakkan perkara sama berulang.
![]() |
Belajar dari 'masalah dalaman' Perikatan Nasional |