KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) digesa segera mendedahkan senarai sekolah yang ditutup kerana jangkitan Covid-19 bagi mengelak orang ramai membuat spekulasi.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika membuat gesaan itu berkata, kes melibatkan institusi pelajaran sering mendapat perhatian ibu bapa dan ia wajar didedahkan bagi kepentingan mereka termasuk pelajar sendiri.
Dipetik laporan media, Kon Yeow berkata bahawa setakat ini beliau tidak mendapat makluman rasmi berkenaan mana-mana sekolah di Pulau Pinang ditutup sementara kerana Covid-19.
“Tetapi kami dapat banyak soalan daripada ibu bapa yang risau, yang terfikir sama ada sekolah (anak) mereka mengalami jangkitan dan akan ditutup.
“Saya rasa senarai sekolah (yang terlibat) perlu didedahkan kepada umum, supaya ibu bapa boleh membuat keputusan sama ada ingin menghantar anak mereka ke sekolah atau tidak.
“Setakat yang kita tahu, sembilan daripada 10 kluster aktif di negeri ini membabitkan kilang, manakala satu lagi melibatkan pusat tahanan,” katanya ketika diminta mengesahkan berita bahawa beberapa sekolah di Pulau Pinang ditutup kerana cetusan jangkitan.
Sementara itu tambah Kon Yeow, keputusan penutupan institusi pendidikan terletak pada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan berdasarkan analisis risiko.
"Sekiranya terdapat kes positif yang dilaporkan KKM akan buat penilaian risiko dan melihat keadaan tertentu sebelum sesuatu keputusan dibuat.
![]() |
Dedah demi kepentingan pelajar dan ibu bapa |
"Hanya KKM yang akan menentukan sekiranya ada kluster membimbangkan," katanya lagi.
0 Comments