AHLI PARLIMEN Lembah Pantai, Fahmi Fadzil membidas kerajaan berhubung penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021.
Pengarah Komunikasi KEADILAN itu ketika mengulas laporan yang diterbitkan Reporters Without Borders (RSF) hari ini yang menunjukkan Malaysia telah jatuh 18 anak tangga ke kedudukan 119, daripada 180 negara berkata perubahan institusi perlu diadakan sekarang.
Secara sinis Fahmi menyindir kerajaan dengan berkata, penurunan indeks kebebasan dalam laporan RSF itu sebagai “kejayaan”
kerajaan Perikatan Nasional.
“Ini adalah satu lagi ‘kejayaan’ Kerajaan Perikatan Nasional. Tahniah saya ucapkan khusus buat Menteri Komunikasi dan Multimedia di atas ‘kejayaan’ yang amat ‘membanggakan’ ini,” katanya dipetik FMT.
Mengulas lanjut perkara itu, Fahmi menegaskan budaya media yang terkongkong dan takut pada pemerintah mesti segera diperbaiki dan menyarankan supaya majlis media bebas diwujudkan, bersertakan undang-undang berkaitan bagi memastikan wartawan dapat melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Beliau berkata satu lagi perkara penting yang perlu ditangani adalah undang-undang berita palsu yang digubal di bawah ordinan darurat. Katanya, ini kerana ia membuka ruang terlalu luas untuk tafsiran ‘berita palsu’.
Dalam laporan tahunannya, RSF meletakkan Malaysia di kedudukan 119 iaitu satu anak tangga di atas Nigeria dan Nicaragua. Congo pula pada kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia di 118, bersama Gabon (117) dan Guatemala (116).
Finland dan Sweden sebagai tiga negara teratas dengan kebebasan media terbaik.
Dalam satu kenyataan ringkas di laman webnya, RSF menjelaskan kedudukan Malaysia jatuh disebabkan oleh gangguan, intimidasi dan penapisan akhbar.
![]() |
Budaya kongkong media perlu dihapuskan |
Fahmi sementara itu turut menegaskan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), yang mengawal pelesenan surat khabar juga perlu dimansuhkan kerana dapat digunakan oleh pemerintah untuk menekan penerbit.
0 Comments