PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi desakan agar kerajaan segera melaksana pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18.
Ketika menyampaikan ucapan dalam satu program di Gombak semalam, Anwar menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut merupakan keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan telah diluluskan dua tahun lalu.
Justeru dengan pengguhannya, Ketua Pembangkang itu mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang sebahagiannya daripada pentadbiran lalu telah mengkhianati dan memungkiri janji pelaksanaan pemilih automatik dan Undi 18 itu.
“Saya sentuh soal ini kerana ia telah pun dilulus dan dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen pada tahun 2019 sewaktu Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah.
“Namun, pemerintah sekarang (Perikatan Nasional) yang sebahagiannya dari pentadbiran lalu hari ini bertindak mengkhianati dan memungkiri janji tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan pindaan Perlembagaan pada Julai 2019 bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.
Namun pada Khamis, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus bermakna ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini seperti jangkaan awal.
Pengumuman Abdul Ghani itu mendapat kritik banyak pihak terutama pemimpin politik belia.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan peranan anak muda pada masa ini adalah penting dan berkebolehan dalam menentukan masa depan negara.
![]() |
Anwar desak segerakan pelaksanaan undi18 |
“KEADILAN juga akan menjelajah ke seluruh negara untuk memastikan suara dan aspirasi anak muda ini didengar dan diangkat,” tambah Anwar lagi.
0 Comments