Menteri Umno mesti letak jawatan, PAS perlu nyata pendirian - Ku Li


SEMUA Ahli Umno yang memegang jawatan dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa supaya menarik diri serta-merta.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Kuala Lumpur hari ini, seperti dilapor media.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tindakan itu selari dengan cadangan daripada Umno Bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan untuk memutuskan kerjasama dengan PN.

"Cadangan daripada Bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan menegaskan sekali lagi apa yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"MKT memutuskan bahawa kita akan putus kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Ia juga bererti semua ahli UMNO yang jadi menteri, timbalan menteri dan yang pegang jawatan dalam GLC mesti tarik diri mulai hari ini," katanya.

Untuk rekod, ada seramai
14 pemimpin Umno dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Mereka antaranya ialah
Ismail Sabri Yaakob- Menteri Kanan - Menteri Pertahanan; Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan);
Shamsul Anuar Nasarah sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, manakala Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad, sebagai Menteri Pengajian Tinggi.


Reezal Merican Naina Merican, sebagai Menteri Belia dan Sukan:
Hishammuddin Hussein Menteri Luar Negeri, manakala Khairy Jamaluddin, pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


Halimah Mohamed Sadique Menteri Perpaduan Negara, sementara Ahli Parlimen Tenggara,  Adham Baba, sebagai Menteri Kesihatan.

Timbalan menteri dari Umno pula antaranya adalah Mastura Yazid (Kuala Kangsar) di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas); Ismail Mohamed Said, dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri I; Zainul Abidin sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia; Ahmad Hamzah, menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, manakala Abdul Rahman Mohamad ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.
 
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hubungan PAS dalam PN, Ku Li menegaskan bahawa parti itu perlu mengasingkan diri dengan PN sekiranya mereka masih berminat berkerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).

Umno akan lawan Bersatu pada PRU15
Tambahnya, Umno sudah membuat keputusan untuk berdepan dengan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menggesa PAS menyatakan pendirian mereka.

Asyraf berkata, pendirian dan keputusan PAS itu penting bagi membolehkan Umno khususnya mengenali lebih awal siapakah kawan dan siapakah lawan yang akan ditentangi.

“Ini penting. Sebelum masuk gelanggang perang kita kena tahu siapa musuh dan kawan, kawan yang tidak tikam belakang, kawan yang akan bersama sehingga ke penghujungnya,” katanya dalam ucapan penggulungan sayap Pemuda Umno di Perhimpunan itu.

PAS sebelum ini membuat ketetapan untuk meneruskan kerjasama di antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan ketika ini, sambil memperkasakan hubungannya dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

Post a Comment

0 Comments