PENJELASAN Kementerian Kesihatan berhubung keputusannya membenarkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu menjalani kuarantin di rumah dikritik.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengecewakan dan dianggap sebagai satu lagi contoh amalam 'dua darjat' antara rakyat dan menteri.
Noor Hisham dilapor berkata, Santhara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah setelah kembali dari New Zealand kerana Santhara mempunyai "rumah yang sesuai" dan dia kembali dari "negara berisiko rendah."
Ahli Parlimen Segamat itu sebelumnya berada di New Zealand untuk 'bersama keluarga'kira-kira 80 hari.
Bawah prosedur operasi standard (SOP) sekarang ini, mereka yang tiba dari luar negara mesti mengasingkan diri di pusat kuarantin yang ditetapkan seperti hotel dan bukannya kediaman mereka sendiri.
Sementara itu dalam kenyataan, Guan Eng mendakwa kuarantin di rumah seolah-olah bukan pilihan untuk rakyat biasa yang pulang dari luar negara.
Beliau turut memetik kes S Mani Vannan, yang tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah untuk menjaga ibunya yang menghidap kanser.
Juruterbang Singapore Airlines itu menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech kedua pada awal Februari dan mengambil tujuh ujian RT-PCR dan diuji negatif sebelum pulang ke Malaysia pada 23 Februari.
Seperti Santhara, Mani juga pulang dari kawasan yang mempunyai sedikit jangkitan - Singapura.
Beliau yang mahu pulang ke kampung halamannya di Kulai, Johor bagi menjaga ibunya yang menghidap barah mendakwa telah merayu kepada kementerian "berkali-kali" sejak Dec 2020 tetapi tetap ditolak.
"Penjelasan Noor Hisham menimbulkan persoalan mengenai syarat-syarat Kementerian Kesihatan bagi rumah yang sesuai untuk arahan kuarantin.
"Adakah rumah yang sesuai untuk kuarantin hanya jika ia rumah mewah atau dimiliki oleh orang kaya dan berkuasa?
"Amalan membezakan antara dua darjat antara orang yang kaya dan berkuasa, dan rakyat biasa seperti ini menunjukkan sikap bongkak dan penghinaan kepada prinsip kebenaran," katanya.
![]() |
Guan Eng persoal kenyataan Noor Hisham |
"Kerajaan PN harus berhenti bersikap angkuh berlagak seakan-akan mereka kebal dari sebarang tindakan jika buat salah atau lebih teruk, boleh melakukan sesuka hati tanpa menghiraukan tatakelakuan yang baik dan tingkah laku yang wajar, hanya kerana parlimen digantung," gesa Lim
0 Comments