Polis siasat penganjur dan peserta himpunan aman Undi18


POLIS dilapor menyiasat penganjur dan peserta perhimpunan aman menyokong Undi18 di luar bangunan Parlimen semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, dipetik media sebagai berkata,  semua individu yang telah dikenalpasti akan dipanggil ke Balai Polis Daerah Dang Wangi dalam masa terdekat untuk direkod kenyataan.

“Siasatan akan dijalankan bawah peruntukan undang-undang Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mengadakan perhimpunan tanpa notis.

"(Dan) Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) 2021," katanya pada satu kenyataan.

Semalam, kumpulan yang diketuai oleh Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi

Semalam, kira-kira 100 penyokong Undi18 diketuai Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi berhimpun secara aman di hadapan parlimen hari ini untuk menuntut hak belia untuk mengundi pemimpin yang akan menentukan masa depan negara.

Mereka sebelumnya berarak dari Padang Merbok dimana himpunan bagi menyokong RUU 355 pernah diadakan pada Febuari 2017. Mereka bertafakur secara simbolik selama 18 minit.

Bantahan ini dibuat pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac bahawa penurunan usia mengundi ditunda ke tahun depan walaupun  pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia pengundian telah diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Julai 2019.

Pilihan raya umum ke-15 disebut-sebut akan diadakan pada bulan Ogos ketika proklamasi darurat berakhir.

"Penangguhan selama lebih dari 15 bulan ini tidak masuk akal dan tidak mencerminkan komitmen pihak berkuasa untuk memberikan hak untuk mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun.

"Rakyat Malaysia, dan anak muda khususnya, sangat menentang keputusan ini kerana ia hak semua orang dewasa untuk mengundi dalam pilihan raya memandangkan ini adalah hak asasi manusia dalam demokrasi di seluruh dunia," katana.

"Apa yang menghalang SPR melaksanakan Undi18?

"Di mana suara kami sebagai anak muda yang ingin membantu membentuk masa depan negara," soal seorang wakil sekretariat Tuntut Undi18, Nurul Rifayah Muhammad Iqbal ketika membacakan tuntutan mereka semalam.

Turut hadir dalam himpunan semalam adalah wakil dari Mahasiswa Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Ketua Pemuda HARAPAN, Shazni Munir Mohd Ithnin.

 Peserta sebelumnya berarak dari Padang Merbok
Tegas Shazni, hak mengundi bukan hak istimewa tetapi hak yang wajib diberikan oleh kerajaan kepada rakyat negara ini.

Antara ahli politik yang datang untuk menunjukkan sokongan mereka termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, ketua Pemuda DAP Howard Lee, Adun Ketari dari DAP Young Shefura Othman, bekas menteri pendidikan yang juga MP Simpang Renggam Maszlee Malik, ketua penerangan Pejuang Ulya Aqamah Husammudin dan veteran PSM S Arulchelvan.

Sukarelawan Amanah membantu mengawal pergerakan hadirin dan memastikan pematuhan SOP Covid-19 seperti penjarakan sosial.

Selepas berhimpun, penunjuk perasaan bersurai secara aman sejam kemudian.