SEORANG Penganalisis politik terkenal berpandangan bahawa parti Umno tidak akan kemana sekiranya kekal dengan pendirian “No Anwar, No DAP”.
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sebaliknya melihat Umno akan mendapat manfaat sekiranya menjalin kerjasama politik baru dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Menerima Anwar dan DAP bukan bererti membentuk pakatan baharu, tetapi membentuk kerjasama politik.
“Satu lagi ialah slogan ‘No Anwar No DAP’ berkonotasi kebencian dan perkauman yang tentunya bukan modal politik terbaik untuk negara kita.
“Perjuangan politik terbaik bagi negara kita adalah memenuhi keperluan rakyat, mensejahterakan kehidupan mereka dan membina negara bangsa yang bersatu,” kata Agus pada "catatan hari minggu" di media sosial.
Agus berpendapat kerjasama BN-Umno dan Pakatan Harapan adalah lebih baik untuk mencapai hasrat Umno pada pilihan raya umum nanti seperti membolehkan Umno bertanding di semua kerusi tradisinya tanpa pertindihan kerusi dengan Bersatu dan PAS.
“Umno akan kekal sebagai parti Melayu dominan kerana tidak lagi bersaing dengan dua parti Melayu yang lain dalam PN,” katanya.
Untuk rekod, Anwar selaku Presiden KEADILAN tidak menafikan kemungkinan berlakunya kerjasama antara partinya dengan Umno tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.
Malaysiakini dalam laporannya hari ini yang memetik sumber tidak dinamakan memberitahu, bahawa rundingan pihak Anwar dan Umno bermatlamatkan satu perkara.
Menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang kedua-dua parti dikatakan mencari titik persefahaman bagi mengelakkan bertembung di antara satu sama lain di kerusi yang sedang diwakili Bersatu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno , Annuar Musa (Ketereh) yang dilihat cenderung kepada Muhyiddin mendakwa ada konspirasi menggagalkan dasar 'no Anwar no DAP' dalam Umno.
![]() |
Retorik kebencian dan perkauman tak lagi relevan |
Manakala ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi pula berpendapat slogan tersebut tidak semestinya relevan sepanjang masa kerana senario politik negara berubah-ubah.
0 Comments