Mana suara Azhar Harun, soal Hannah Yeoh



SEORANG Ahli Parlimen mempersoalkan mengapa Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun tidak mempertahankan hak parlimen untuk kembali bersidang.

Isu itu dibangkitkan Hannah Yeoh (Segambut) ketika aktiviti lain termasuk bazar Ramadan dan kehadiran penonton ke stadium telah dibenarkan walaupun pendemik Covid-19 belum berakhir.

Melalui satu kenyataan, Hannah yang merupakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, rakyat akan terus menjadi mangsa sekiranya Ahli parlimen tidak diberi peluang hadir ke Dewan Rakyat bagi membahaskan undang-undang yang diperkenal kerajaan yang dikepalai Muhyiddin.

Hannah sebelumnya membangkitkan isu kompaun terhadap individu yang melanggar SOP Covid-19 yang dinaikkan kepada RM10,000.

“Kita semua tertanya-tanya di manakah suara speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya menyuarakan dan mempertahankan hak parlimen untuk dibuka dan kembali bersidang.

“Speaker Dewan Rakyat sepatutnya lebih memahami tujuan dan fungsi Dewan Rakyat sebagai sebuah institusi penggubal undang-undang," katanya dipetik.

Untuk rekod, ramai Ahli Parlimen terutama dari Pembangkang dan sebahagian dari Umno menggesa supaya Parlimen kembali bersidang.

Ia selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri berpendapat sidang parlimen boleh diadakan walaupun darurat masih berkuat kuasa.

Setakat ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum menunjukkan sebarang tanda untuk memberikan nasihat kepada Agong bagi mengadakan sidang parlimen.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan memberi alasan tiada keperluan lagi untuk memanggil sidang Parlimen tambahan hampir sebahagian Ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dan pihaknya tidak mahu terdedah kepada perkara-perkara yang akan menjadi sebab kepada penularan Covid-19 kerana mereka berada di ruang yang tertutup.

Kerajaan sebelum ini dikritik ramai susulan langkah mereka menguatkuasa Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang memperuntukkan kompaun RM10,000 berbanding RM10,000 yang dikenakan terhadap individu yang melanggar SOP Covid-19 sebelum ini.

Sementara itu, Hannah menyifatkan pelaksanaan penguatkuasaan itu seperti  undang-undang separuh masak,

Sebarang pindaan tegasnya sewajarnya dibahas dan diperhalusi oleh ahli-ahli parlimen terlebih dulu.
 
“Oleh itu, saya menggesa agar speaker Dewan Rakyat kembali mempertahankan kebebasan parlimen dan hak untuk ahli-ahli parlimen bersidang, berbahas dan menyemak akauntabilti pentadbiran kerajaan yang kini memberi kesan negatif kepada rakyat,” katanya.

 Perbahasan penting untuk lindungi hak rakyat
Untuk rekod pada 17 Feb lalu Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman sendiri menghantar sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun - yang juga abang Azhar - dan menyatakan bahawa cabang legislatif kini dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung Parlimen.

Dalam surat itu, Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.

 

Post a Comment

0 Comments