SEORANG Ahli Parlimen dari KEADILAN mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai kelemahan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam mengekang kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di zon utama perindustrian di Pulau Pinang.
Sim Tze Tzin (Bayan Baru) yang dipetik satu laporan media berkata data yang dikumpulkannya sejak Januari hingga Mac menunjukkan virus itu merebak di Mukim 12 dan Mukim 13, di barat daya negeri itu yang merupakan kawasan yang dipenuhi kilang elektronik.
“Selepas tiga bulan, selepas PKP, PKPB dan segala SOP yang bermacam-macam, kes makin menjadi-jadi.
"Lagi teruk, kes mula menjangkiti murid-murid sekolah melalui ibubapa yang menjangkiti Covid dari tempat kerja.
“Rakyat Bayan Baru banyak memberi maklum kepada saya, bahawa mereka amat sangsi dan kecewa. Mereka telah mengikuti segala macam SOP, tapi kes masih banyak. Perniagaan dan pekerjaan mereka terjejas dan sentiasa hidup dalam ketakutan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Kecewa dengan peningkatan kes itu, Sim mengingatkan kerajaan bahawa kilang-kilang di dua mukim terbabit merupakan "Bahagian penting dalam Rangkaian Bekalan Global”.
Tegasnya, sekiranya pihak berwajib gagal menangani peningkatan kes itu, ia akan memberi kesan kepada ekonomi.
Difahamkan, Industri elektrik dan elektronik di Pulau Pinang dilaporkan menyumbang sekitar RM380 bilion kepada nilai eksport keseluruhan Malaysia.
Kebimbangan disuarakan Sim turut dilapor portal FMT hari ini.
Sementara itu, Sim menyalahkan MKN yang menurutnya tidak berupaya menyelesaikan masalah mengikut data. Pada Jumaat menurutnya Pulau Pinang mempunyai kadar kebolehjangkitan keenam tertinggi di negara ini, dengan nilai R0 (R-naught) pada 0.98.
"Data mukim 12 dan 13 jelas, Rt Pulau Pinang masih tinggi. Apa strategi khusus yang mereka laksanakan?'soal Pengarah Strategik parti KEADILAN itu.
Beliau turut mengkritik Miti yang diketuai Mohamed Azmin Ali atas kelewatan mereka dalam melancarkan program Safe@Work walaupun sudah diketahui sejak tahun lalu, kilang-kilang adalah punca perebakan Covid-19.
"Menteri semalam kata 194 cluster berasal daripada kilang pembuatan. Mereka sudah tahu lama tempat kerja terutamanya kilang adalah tempat punca perebakan. Tetapi, selepas 365 hari, baru lancar Work Safe Program. Ini kegagalan kepimpinan," katanya lagi.
Selain itu beliau juga mempersoalkan kurangnya penguatkuasaan terhadap kilang yang gagal mengikuti peraturan Covid-19 atau yang mempunyai kes berulang. Malah menyalahkan pengurusan kilang yang terus menjalankan operasi walaupun merekodkan kes berulang.
![]() |
Sim mahu penguatkuasaan lebih tegas dilakukan |
"Kerana beberapa kambing hitam, kilang lain yang melaksanakan kerja dengan baik mungkin terjejas. Ini tidak adil kepada mereka," katanya sambil mendakwa belum ada kilang pembuatan walaupun ada kes jangkitan berulang.