SATU laporan polis difailkan seorang ADUN dari Pulau Pinang setelah seorang pengguna Facebook membuat ugutan “tembak ” dalam satu hantaran di laman sosial itu.
Pengguna facebook bernama “Hashim Rastaman” itu menyerang Kumaresan Aramugam (HARAPAN - Baru Uban) dengan mendakwa beliau tidak membantu golongan miskin dan NGO perlu melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat.
Menurut catatan itu lagi, tidak ada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Kumaresan yang melawat keluarga itu. MPKK membabitkan pemimpin tempatan yang dilantik kerajaan negeri untuk membantu akar umbi.
“[…] Kalau jumpa dengan YB dan , saya akan tembak depa dulu kerana menyengsarakan rakyat,” demikian menurut catatan individu tersebut.
Susulan ugutan itu, Kumaresan membuat laporan polis dengan berkata, beliau bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya.
Beliau berkata, pengguna Facebook itu turut berbohong dengan mendakwa beliau “mencuri tanah dan kenikmatan rakyat”.
“Rumah yang menerima bantuan daripada NGO itu selalu dibantu pusat khidmat saya. Kami mempunyai rekod untuk menyokongnya, tiada isu siapa yang dipinggirkan,” katanya dipetik laporan FMT.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan ugutan jenayah tanpa nama, serta penyalahgunaan internet mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Timbalan Ketua KEADILAN Pulau Pinang, Sim Tze Tzin berkata, jenayah kebencian sedemikian perlu ditangani segera memandangkan polis mempunyai lebih banyak kuasa ketika darurat.
![]() |
Membuat ugutan adalah kesalahan serius |
“Pihak berkuasa perlu bertindak segera untuk menghalang pihak lain membuat kenyataan tidak tahu malu dalam talian.” tegasnya.