P.Pinang gesa MITI segera laksana SOP Safe@Work


KERAJAAN Negeri Pulau Pinang mahu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera melaksana prosedur operasi standard (SOP) “Safe@Work” demi keselamatan dan kesihatan rakyat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata, sektor perkilangan masih mencatatkan jumlah kluster tertinggi dan telah mula merebak ke sekolah-sekolah, berpunca daripada ibu bapa yang bekerja di kilang-kilang terbabit

Justeru proses pemberian vaksin kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri itu wajar dipercepatkan.

“Saya menggesa supaya pendekatan yang dinyatakan dapat dilaksanakan pada kadar segera oleh pihak-pihak berkaitan demi kesihatan rakyat negeri ini dan kepentingan pembangunan ekonomi Pulau Pinang yang juga antara penyumbang penting Keluaran Dalam Negara Kasar negara,” kata beliau.

Semalam, AHli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan apa langkah akan dilaksana Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam mengekang kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di Pulau Pinang.

Melalui perkongsian di laman Facebooknya, Sim berkata, data yang dikumpulkannya sejak Januari hingga Mac menunjukkan virus itu merebak di Mukim 12 dan Mukim 13, yang merupakan zon utama perindustrian di barat daya negeri itu.

Sim turut mengingatkan kerajaan bahawa kilang-kilang di dua mukim terbabit merupakan "Bahagian penting dalam Rangkaian Bekalan Global”.

MITI digesa segera laksana SOP Safe@Work
Tegasnya, sekiranya pihak berwajib gagal menangani peningkatan kes itu, ia akan memberi kesan bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah juga kepada ekonomi.

Beliau turut mengkritik Miti yang diketuai Mohamed Azmin Ali atas kelewatan mereka dalam melancarkan program Safe@Work walaupun sudah diketahui sejak tahun lalu, kilang-kilang adalah punca penularan wabak  Covid-19.

Post a Comment

0 Comments