KEADILAN kenal pasti dalang pujuk Ahli Parlimen lompat parti

 


KEADILAN dilapor telah mengenal pasti beberapa individu yang didakwa berperanan sebagai ejen politik bagi  memujuk Ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tanpa menyebut nama individu itu secara jelas, Ketua Whip Ahli Parlimen KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, mereka terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli parti itu yang keluar parti atau dipecat sebelum ini.

“Ada daripada ejen terbabit yang telah lompat parti dan menjadi sub ejen dan hubungi kawan-kawan ajak lompat masuk PN,” katanya.

Ahli Parlimen yang dipujuk jelas Johari turut dimomokkan dengan persepsi kononnya KEADILAN tiada masa depan dalam politik negara ini.
 
“Beberapa ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya dihubungi pihak tertentu yang memujuk mereka supaya tinggalkan PKR kononnya parti itu tiada masa depan cerah,” katanya dipetik.

Sebagai rekod, Parti KEADILAN yang ditubuhkan pada 2003 hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) kini disifatkan sebagai parti politik berbilang kaum paling berjaya di negara ini.

Sementara itu menurut Johari,  ejen berkenaan berkemungkinan diarahkan menjadi orang tengah dengan menghubungi bekas rakan dalam PKR agar turut menyertai mereka menyokong kerajaan PN.

Siasatan dalaman pihaknya turut mendapati kebanyakan pemimpin yang lompat parti telah diberikan kata dua oleh individu berpengaruh.

“Hasil siasatan, mereka yang didekati ada masalah tertentu dan sekiranya tidak bersama PN akan dikenakan tindakan atau pendakwaan, contohnya kes Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar yang telah dibuka kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya lagi.

Terdahulu, KEADILAN mendedahkan wujud langkah-langkah terancang untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk dari kalangan parti itu.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail mengecam tindakan terdesak mengugut atau memberi habuan supaya Ahli Parlimennya keluar parti untuk menjadi wakil bebas atau menyokong Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail baru-baru ini berkata, beliau didatangi dua individu yang memujukknya untuk menyokong PN dan manfaat yang boleh diperolehinya dengan pemberian sokongan tersebut.

Natrah bagaimanapun menolak ajakan itu kerana enggan mengkhianati pengundi kawasannya.

 KEADILAN dakwa kenal pasti dalang
Dalam pada itu, Johari yang juga merupakan Pengerusi KEADILAN Kedah menggesa  kerajaan PN memberi tumpuan sepenuhnya kepada masalah negara seperti wabak Covid-19, berbanding cubaan memancing ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong PN.

“Ini adalah suatu tindakan yang tidak bermaruah,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments