PN bergelut nak kekal berkuasa - Anwar


KETUA
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sedang bergelut untuk mengekalkan kuasa mereka.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong meninggalkan parti KEADILAN dan mengumumkan menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin, Anwar berkata PN tidak yakin dengan sokongan dimiliki mereka terutama ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat titah bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat

"Sekarang mereka hilang majoriti, maka bergelut untuk beli, upah dan ugut sedaya upaya mereka untuk mendapat dukungan sebelum boleh menimbang untuk mengadakan sidang," dakwa Anwar menerusi video di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Terdahulu sebelum Larry dan Steven mengumumkan mereka menyokong PN, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan berlaku apa yang didakwanya usaha 'mencuri' Ahli Parlimen pembangkang melalui 'tawaran dan ugutan'.

Menurutnya ia usaha terdesak dilakukan pentadbiran Muhyiddin ketika mereka berdepan kritik ekoran kelemahannya serta kehilangan sokongan dari Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokongnya.

Sokongan Larry dan Steven dilihat menggantikan dua ahli Parlimen Umno - Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) - yang menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin sebelum ini.

Mereka memberi alasan keputusan itu dibuat demi kepentingan pengundi mereka.

 Anwar gesa sidang Parlimen diadakan
"Tekanan terhadap mereka, apakah (dari segi) cukai, apakah (ditawarkan) projek, atau apa-apa tekanan lain sehingga mereka tidak ada pilihan. (Tetapi mereka kata) kononnya untuk bela nasib rakyat.

"Kalau benar kita cinta kepada rakyat dan mahu rakyat bangkit bersama, kita harus tuntut Parlimen mengadakan sidang dan kerajaan PN undur kerana mereka hilang majoriti," kata Anwar mengulas tindakan kedua-dua mereka.

Sementara itu, Anwar mengimbas kembali kejadian sama selepas PRU 2008, ketika itu jelasnya ahli Parlimen yang "mengkhianati undi rakyat' telah "ditendang rakyat" pada PRU seterusnya.
  

Post a Comment

0 Comments