ADUN bimbang kerajaan akan monopoli kemudahan 5G

 


MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah digesa tampil menjelaskan mengapa dia bersetuju dengan kaedah syarikat tunggal untuk melancarkan teknologi mudah alih 5G.

Bendahari KEADILAN Lee Chean Chung membuat gesaan itu susulan pengumuman Kementerian Kewangan mengumumkan semalam bahawa syarikat bertujuan khas (SPV) Digital Nasional Berhad akan memiliki spektrum 5G tersebut serta memiliki, membina dan mengendalikan rangkaian 5G di negara ini.

Tegas Chean Chung, langkah terbaharu PN itu dilihat sebagai pendekatan yang regresif yang menurutnya tidak selaras dengan trend global.

“Di Singapura dan Amerika Syarikat, kerajaan akan menerima berbilion-bilion daripada peruntukan spektrum 5G melalui tender terbuka. Mereka juga mendorong pemain industri untuk mengoptimumkan sumber dan mengurangkan pembaziran melalui pembentukan konsortium.

“Namun, di Malaysia, kita awal-awal membelanjakan RM15 bilion, ditambah dengan risiko kerajaan memonopoli pasaran 5G, yang bertentangan dengan kepentingan negara,” kata ADUN Semambu itu.

Difahamkan, pemegang hak rangkaian itu akan menjual akses spektrum dan rangkaian tersebut kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.

Sementara itu,  Chean Chung turut mempersoal mengapa Saifuddin  tidak mengguna pakai pelan konsortium yang digunakan sebelum ini oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kaedah dipilih dianggap tidak cekap dan mahal
“Ini bukan kaedah yang menjimatkan mahupun cekap untuk melancarkan infrastruktur 5G kita,” kata beliau.

Sebagai rekod, kerajaan HARAPAN sebelum ini mencadangkan sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi untuk ditubuhkan bagi tujuan membangunkan infrastruktur 5G.

Hak spektrum kemudian akan diperuntukkan secara tender terbuka supaya ketelusannya terjamin.