PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang mendesak Abdul Ghani Salleh meletakkan jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selepas gagal melaksanakan tugas dan mandat rakyat untuk membolehkan Undi18 pada Jun ini.
Menurut Kit Siang, tindakan itu perlu bagi membuka ruang kepada seorang pengerusi baharu yang boleh memenuhi mandat yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu.
“Pengumuman oleh SPR semalam, yang mengatakan rakyat Malaysia yang berusia antara 18 sehingga 21 tahun, mungkin tidak akan dapat turut serta mengundi dalam pilihan raya umum akan datang adalah satu bentuk pencabulan mandat Parlimen,” katanya dalam kenyataan..
“Ia bukan sahaja kegagalan untuk mematuhi mandat Parlimen untuk membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengundi dalam PRU akan datang tetapi juga contoh yang paling jelas SPR tidak cekap dan tidak patuh keputusan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia yang mencapai umur 18 tahun.
“Abdul Ghani sepatutnya mempunyai intergriti dan bermaruah untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi SPR kerana kegagalannya untuk memenuhi keputusan Parlimen,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.
Untuk rekod, pindaan bagi umur mengundi itu diluluskan di Dewan Negara pada Julai 2019 dengan sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.
Sebelumnya Dewan rakyat membahaskan usul tersebut selama 10 hari sebelum Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) itu diluluskan.
SPR semalam memaklumkan pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan pengundi 18 tahun dijangka dapat dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Abdul Ghani berkata, tempoh tersebut ditetapkan setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.
![]() |
Abdul Ghani digesa letak jawatan |
Walau bagaimanapun alasan tersebut dikritik terutama golongan pemimpin belia dengan menyifatkan ia tidak dapat diterima.
0 Comments