Isu air: Ketua Menteri P.Pinang beri amaran kepada MB Kedah


KETUA MENTERI Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberi amaran mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Negeri Kedah sekiranya melaksana apa-apa projek yang mengancam sumber air mentahnya.

Mengulas cadangan Muhammad Sanusi Md Nor yang baru-baru ini berkata, bahawa kerajaan negeri mahu melaksanakan projek takungan air di sepanjang Sungai Muda, Kon Yeow berkata, tindakan saman mungkin difailkan terhadap Sanusi sekiranya projek itu menimbulkan masalah kepada Pulau Pinang.

“Sekiranya menteri besar kedah ini berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

"Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di negeri ini, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” katanya.

Sanusi baru-baru ini mengumumkan Kedah bercadang melaksana beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.

Ia termasuk membina 14 Takungan Air Pinggiran Sungai (Taps) sepanjang Sungai Muda yang menurutnya untuk menstabilkan paras air Sungai Muda sewaktu musim kemarau.

Beliau juga mahu Pulau Pinang membayar caj air mentah sekiranya ingin mengambil air dari Sungai Muda untuk mengelakkan daripada “minum air selut”.

Kenyataan itu secara umum dilihat sebagai ugutan untuk melambatkan aliran air dari hulu sungai dan disifatkan oleh beberapa pemimpin politik sebagai “tindakan perang” terhadap Pulau Pinang

Kon Yeow sementara itu berkata, Sanusi silap sekiranya berpendapat beliau secara sewenang-wenang boleh melaksanakan projek itu di Kedah kerana sebarang projek mesti mendapat kelulusan dan dana daripada kerajaan persekutuan.

“Mana-mana projek ‘baharu’ Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.

 Pulau Pinang mahu ambil tindakan mahkamah
“Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan, dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air.

"Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan, tetapi kerajaan persekutuan dan/atau undang-undang negara boleh melupuskannya.

“Secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh kerajaan persekutuan," katanya sambil berkata bahawa beliau turu mempertimbangkan untuk mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di parlimen atau mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek itu.

Sanusi pernah menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah berhubung isu itu bagaimanapun berkata pihaknya masih membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara tersebut secara timbang tara.


 

Post a Comment

0 Comments