KERAJAAN Pulau Pinang sudah menyiapkan draf enakmen kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi Dan Pemerkasaan Komuniti, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang dipetik laporan media turut berkata, draf bagi enakmen itu juga telah beberapa kali dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Untuk enakmen mengawal penyebaran agama lain selain Islam ini keputusannya sekarang ialah tangguh pembentangan ke dalam DUN sehingga Parlimen membahas dan meluluskan undang-undang serupa untuk Wilayah Persekutuan seperti apa yang diumumkan oleh Jakim," jelasnya dipetik laporan Malaysiakini.
Di Malaysia, kesemua negeri mempunyai enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islamnya yang tersendiri, kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Isnin lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam untuk Wilayah Persekutuan.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, bersama tiga lagi perkataan Arab (baitullah, Kaabah, solat) dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Sementara itu, Zakiyuddin yang juga Adun Pinang Tunggal menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang memang ada melakukan proses penyelarasan berkenaan undang-undang syariah dan banyak hal lain dengan Jakim dan pihak pusat.
“Draf itu masih di peringkat jawatankuasa dan tertakluk kepada penambahbaikan. Jawatankuasa pelarasan mencadangkan supaya tunggu undang-undang digubal bagi melihat apa yang dibahaskan,” tambah Zakiyuddin lagi.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 2008, menetapkan bahawa penggunaan kalimah 'Allah' adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja, dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.
Pada 1986, kabinet memutuskan kalimah Allah termasuk antara kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam, dan telah diwartakan sebagai eksklusif untuk umat Islam sahaja.
![]() |
Draf enakmen telah disiapkan |
Selain itu, mahkamah turut memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada tahun sama yang melarang penggunaan kalimah "Allah" bersama tiga perkataan lain dalam penerbitan Kristian sebagai menyalahi undang-undang dan tidak rasional.