PENANGGUHAN pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 kepada September 2022 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa yang dipetik laporan Sinar mempersoalkan niat disebalik penangguhan itu yang bercanggah dengan kenyataan menteri sebelum ini bahawa pemilihan secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.
"Apabila ada percanggahan menteri kata A, SPR kata B, jadi ada yang tidak kena," katanya.
Zambri sebelumnya ditemui media menghantar memorandum kepada suruhanjaya itu bagi mendesak Undi 18 dilaksanakan mengikut tarikh yang dijanjikan iaitu Julai 2021.
Ia turut disertai pemimpin NGO belia lain antaranya Majlis Belia Negara, Gerakan Belia 4B, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hadir ke Ibu Pejabat SPR bagi menyerahkan memorandum.
Menurutnya lagi, SPR juga gagal mengemukakan laporan interim kepada NGO belia dan orang awam mengenai kaedah perlaksanaan Undi 18, malah suruhanjaya itu juga tidak pernah memanggil NGO belia dalam libat urus Undi 18.
"Mereka beri alasan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi harus diingatkan bahawa Undi 18 diluluskan di Dewan Rakyat sebelum pandemik Covid-19 bermula," katanya.
"SPR, jangan berdolak-dalik kerana rakyat mahukan jawapan," katanya.
Mengulas lanjut, Zambri berkata, NGO belia mendapat maklum balas daripada golongan muda bahawa mereka bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
"Kita mahu SPR mempercepatkan proses Undi 18 kerana (tindakan) tangguh 2022 ini SPR tidak ambil berat," tegasnya.
![]() |
NGO belia gesa undi18 dilaksana |
Sementara itu, gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) seluruh Malaysia juga dilapor akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 dilaksanakan segera.
0 Comments