Lantik segera Pesuruhjaya Tinggi ke Singapura - ADUN Skudai


KEMENTERIAN
Luar Negeri didesak untuk segera melantik Pesuruhjaya Tinggi di Singapura yang kosong selama 11 bulan.

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Tan Hong Pin susulan laporan media mengenai kesesakan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura baru-baru ini.

Situasi kesesakan itu digambarkan sebagai "huru-hara".

"Saya juga ingin menarik perhatian pihak Kementerian Luar Negeri (KLN) tentang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang kosong sejak 11 bulan lalu dan memerlukan perlantikan baharu segera bagi melancarkan operasi pejabat pesuruhjaya berkenaan sekali gus memudahkan urusan rakyat Malaysia di Singapura," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, The Straits Times (ST) melaporkan beratus-ratus orang terpaksa beratur panjang di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di republik itu untuk memperbaharui pasport sejak awal pagi, sehingga ada warga emas dan pengguna kerusi roda harus menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.

Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu laporan oleh Bernama memaklumkan kesesakan di STM Singapura  berpunca daripada gangguan sistem serta kerosakan pada salah satu mesin pencetak pasport, selain jumlah permohonan memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang meningkat secara mendadak.

Pejabat Suruhanjaya Tinggi telah meminta pemohon untuk memohon pembaharuan pasport secara dalam talian dan membuat janji temu, namun kaedah itu  sukar dilaksana kanak-kanak dan warga emas.

Semalam, Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan menggesa Menteri Luar, Hishammuddin Hussein segera mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

 Selesaikan segera isu di STM Singapura
Sementara itu Hong Pin menegaskan bahawa kekosongan jawatan itu perlu diisi segera supaya masalah dihadapi rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu dapat diselesaikan.

Jelasnya terdapat sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura.

Post a Comment

0 Comments