Isu Korea Utara: M'sia jangan dilihat condong pada kuasa besar


MALAYSIA
tidak lagi sebagai negara yang mengamalkan dasar berkecuali susulan keputusan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, ketika mengulas perkembangan terkini berkaitan hubungan Malaysia dengan negara luar berkata, walaupun Putrajaya mengadakan hubungan dengan Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom dalam kerjasama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), namun ia tetap tidak menjejaskan pendirian Malaysia yang turut berada dalam Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Keputusan terbaharu Korea Utara itu jelasnya telah menyebabkan Malaysia dilihat seolah-olah condong kepada kanan dan tidak lagi benar benar berkecuali dan ia tegas beliau hanya akan merugikan negara.

"Sudah tentulah Pyongyang mempunyai hubungan rapat dengan China - yang menjadi gergasi ekonomi utama dunia - perlu diambil perhatian khusus oleh Malaysia supaya dasar berkecuali Malaysia itu diperkukuh dan diperteguhkan," katanya dalam kenyataan petang ini.

Semalam, Korea Utara mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Malaysia.

Ia susulan tindakan Putrajaya mengekstradisi seorang rakyatnya, Mun Chol Myong  ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luar Korea Utara yang dipetik agensi berita KCNA menyifatkan tindakan Malaysia sebagai "jenayah tidak boleh dimaafkan" yang didakwa bermotifkan politik dan dilakukan kerana tekanan AS.
 
Sementara itu, Mohamad Sabu menambah bahawa  Malaysia tidak boleh dilihat condong kepada kuasa dunia tertentu , sebaliknya dasar hubungan diamalkan Malaysia mesti dilihat kekal berkecuali.

Hal itu  katanya kerana Malaysia sejak sekian lama telah memainkan peranan yang berkesan di peringkat antarabangsa disebabkan dasar  dipelopori oleh Allahyarham Abdul Razak itu.

M'sia dapat banyak manfaat dari dasar berkecuali
Dasar itu katanya dipertahankan oleh beberapa perdana menteri selepas itu namun ia dipertikaikan di bawah kerajaan hari ini.

"Semoga Malaysia kembali kepada asas asasnya sebagaimana diamalkan selama ini," kata Mohamad  yang dipetik laporan media.

Post a Comment

0 Comments