PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak berlakunya kerjasama politik antara parti pimpinannya dengan Umno.
Dalam sidang media di Petaling Jaya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen parti itu dan menteri besar semalam, Anwar bagaimanapun menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Ada perbincangan awal antara KEADILAN dan Umno (dan) saya tak nafikan kemungkinan kerjasama. Ini saya sampaikan kepada ahli Parlimen dan pimpinan negeri untuk sampaikan kepada akar umbi.
“(Tetapi) Jangan andaikan sudah ada persefahaman kerana banyak beri komen kata (sudah) ada perjanjian,” katanya.
Terdahulu, spekulasi mengenai kerjasama KEADILAN-Umno dibangkitkan semula, isu mengenai penjajaran baru politik itu mula dibangkitkan ketika krisis pertukaran Menteri Besar Perak dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu susulan undi percaya ADUN Umno pada December lalu.
Pada Jan lalu Annuar Musa - yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN - mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara "hitam putih" menyokong Anwar dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini dilapor membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan hubungan dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
Sementara itu, Anwar dalam temubual dengan Utusan Malaysia hujung minggu lalu mengakui ada pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Umno dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu” bagi “menyelamatkan negara”.
“Ada Ahli Parlimen Umno yang sokong, sebagai parti tidak ada. Perbincangan dengan Umno masih berterusan,” katanya.
Anwar turut berkata, empat perkara termasuk hak Bumiputera dan masyarakat sebelum meneruskan rundingan untuk menjalin sebarang kerjasama sebelum kerjasama itu akan melibatkan Pakatan Harapan (HARAPAN).
![]() |
Terlalu awal untuk diputuskan, jelas Anwar |
Sebarang kerjasama dengan Umno juga tegas Anwar akan bergantung kepada kesanggupan parti Melayu itu untuk menjalin kerjasama berteraskan “idealisme”.
"Ini pendirian KEADILAN dan HARAPAN, yang kita tidak akan berganjak dalam perbincangan dengan sesiapa termasuk Umno. Kita akan tegaskan,” kata Pengerusi HARAPAN itu lagi.