Kartel dalam polis : bekas menteri bidas jawapan Pesuruhjaya SPRM


GOBIND SINGH DEO
mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang dianggapnya memandang ringan isu “kartel polis” dengan menyifatkannya sebagai masalah dalaman.

Melalui satu kenyataan,bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menegaskan bahawa  Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dengan jelas menyatakan ia melibatkan rasuah.

“Hamid tidak hanya bercakap secara terbuka mengenai kartel, tetapi juga amalan rasuah dalam pasukan polis.

“Adakah itu masalah dalaman yang bagi SPRM dapat diselesaikan secara dalaman? SPRM mesti terlibat kerana wujud dakwaan rasuah,” kata Gobind.

Azam baru-baru ini dilapor berkata, SPRM tidak berniat menyiasat skandal “kartel” yang didedahkan Abdul Hamid.

Jelasnya, ia masalah dalaman pasukan itu dan beliau yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menangani isu itu.

Gobind yang juga merupakan seorang Peguam mempersoalkan sama ada pendirian SPRM itu bermaksud semua jabatan swasta atau awam lain harus menjalankan siasatan dalaman terhadap kes rasuah melibatkan kakitangan mereka.

“Mengapa orang lain ditangani secara berbeza, disiasat oleh SPRM dan kemudian didakwa di mahkamah? Bukankah mereka juga harus ditangani secara dalaman?” soalnya.

Tegasnya lagi isu rasuah adalah persoalan undang-undang dan siasatan dalaman belum mencukupi kerana kes itu melibatkan polis sendiri.

 Langkah tepat perlu diambil, tegas Gobind
“Mungkin Azam harus mendapat nasihat undang-undang daripada peguam negara. Ini perkara penting untuk masyarakat umum.

“Sekiranya kita benar-benar ingin membersihkan pasukan polis dan memperkuatnya dengan menangani masalah seperti ini, maka kita harus mulakan dengan langkah tepat ke arah yang betul.” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments