SELEPAS pemimpin KEADILAN mendedahkan ada usaha dijalankan bagi memikat Ahli Parlimennya untuk menyokong Perikatan Nasional, Pengerusi Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail pula mendakwa tindakan serupa dilakukan 'pihak tertentu' untuk mencuri wakil rakyatnya.
Wan Rosdy yang dipetik laporan media merujuk pihak itu sebagai parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang cuba memujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor supaya lompat parti.
Berucap ketika membahaskan ucapan dasar dalam perhimpunan Umno semalam, Wan Rosdy berkata dia mempunyai bukti kukuh berhubung percubaan itu.
Justeru katanya, tindakan yang dilakukan Bersatu itu juga jelas menunjukkan mereka tidak ikhlas untuk bekerjasama dengan Umno.
"Sudahlah tidak ikhlas, main kotor pula. Saya ada bukti kukuh, mereka berusaha memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands.
"Kita bertungkus-lumus di pilihan raya kecil (PRK) menangkan beliau (Ramli). Tetapi mereka pula nak pikat, hantar khidmat pesanan ringkas hendak berjumpa dan mencadangkan sesuatu ajak berunding.
"Ahli Parlimen Cameron Highlands, ada di sini, tanyalah YB Cameron Highlands. Sampai mereka datang ke rumah, tapi usaha mereka gagal," katanya.
Menteri Besar Pahang itu turut menyifatkan sikap yang ditunjukkan oleh parti yang diterajui Muhyiddin Yassin itu juga tidak 'gentleman'.
"Jadi daripada mereka membeli sana membeli sini, memikat sana sini, baik bubar Parlimen secepat mungkin," katanya.
Dalam ucapan serupa juga Wan Rosdy mempersoal tindakan Bersatu yang menurutnya mahu menentukan pembahagian kerusi yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
![]() |
Bersatu didakwa cuba pancing Ramli |
"Timbul isu Bersatu hendak letak lima calon Ahli Parlimen di Pahang, siapakah mereka untuk tentukan kerusi di Pahang?
"Sedangkan satu kerusi pun tak ada. Tidak berunding pula dengan Umno. Mereka ini tiada keikhlasan dengan kita," katanya lagi.