Ibu Ella meninggal dunia dalam tidur


IBU kepada Ratu Rock, Ella, Yang Asmah Long, 92, dilapor meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Telok Gadong, Klang, awal pagi tadi.
 
Syahrizal Ismail yang merupakan abang ipar penyanyi itu berkata, ibu mentuanya menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, pada jam 2.30 pagi tadi.

"Arwah menetap dengan adik ipar, Korie di Klang. Kami berjumpa hari-hari kerana arwah semakin uzur.

"Arwah meninggal dalam tidur akibat sakit tua," kata suami kepada kakak dan juga pengurus Ella, Jojie dipetik dipetik laporan Berita Harian.

Sementara itu, Ella dan suaminya , Azhar Ghazali Azhar yang difahamkan berada di Melaka kerana menghadiri kursus bergegas pulang selepas mendapat berita itu.

“Sebaik menerima panggilan, saya dan Ella terus bergegas pulang ke Klang dari Melaka. Kami tiba di rumah sekitar pukul 6 pagi. Alhamdulillah, kami dapat bersama-sama dengan ahli keluarga lain menguruskan jenazah,” kata Azhar dipetik laporan Awani.

Jenazah Allahyarham Yang Asmah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Sementara itu, berita duka pemergian Yang Asmah ke rahmahtullah turut dikongsi di laman Facebook Ella Aminuddin.

Jenazah dikebumikan di Seksyen 21 Shah Alam


Berita sedih itu turut mendapat perhatian lebih 1,000 kenalan dan peminat-peminat Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 54, yang mengucapkan salam takziah buat penyanyi itu dan seluruh keluarga.


Mereka turut mendoakan semoga roh Allahyarham Yang Asmah dicucuri rahmat serta memberikan kata-kata semangat kepada Ella dan seluruh keluarga agar tabah dengan pemergian ibu tercinta.



 

Post a Comment

0 Comments