Henti sebarang usaha gerrymandering-AMK


ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) menyifatkan kenyataan pemimpin PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mahu melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya jika parti itu memenangi dua pertiga kerusi Parlimen, hanyalah bertujuan mengaburi mata rakyat.

Melalui satu kenyataan bersama oleh Ketua AMK, Akmal Nasir dan Setiausahanya, Syukri Razab, sayap pemuda parti KEADILAN itu menegaskan kenyataan itu hanya bermotifkan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula diadakan.

“Jika diteliti hujah Khairuddin, agak mendukacitakan apabila Pas yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah gerrymandering yang jelas mempunyai agenda menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan, begitu cepat berubah apabila peroleh kuasa dengan kini mencadangkan perkara yang sama.

“Sudah pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat sistem demokrasi yang telus dan adil selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka beranggapan persempadanan semula yang dicacangkan itu hanya bagi memberikan keuntungan politik kepada Pas dan sekutu mereka.

Terdahulu, PAS menyasarkan untuk menguasai dua pertiga Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) agar parti itu bersama gabungannya dapat melaksanakan persempadanan semula awasan pilihan raya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, langkah itu akan menguntungkan umat Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dilapor media sebagai berkata, cadangan untuk persempadanan semula di beberapa negeri majoriti Melayu dilakukan bagi menambah bilangan kerusi kaum Melayu di Parlimen.
 
Sementara itu, AMK mengingatkan bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026.

“Kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada 28 Mac 2018.

 Selesai dulu isu pengundi usia 18 tahun


“Mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siapnya satu kajian semula. Maka persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026,” katanya.


Sehubungan itu, AMK Malaysia menggesa agar sebarang usaha gerrymandering dihentikan dan menyeru supaya Perikatan Nasional terlebih dahulu menyelesaikan isu pengundi 18 tahun serta menyahut titah Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam tempoh darurat.

Post a Comment

0 Comments