Aziz Bari bidas 'alasan baru' Takiyuddin Hassan


PAKAR
Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang berkata, perjalanan pentadbiran tidak terjejas walaupun Dewan Rakyat tidak bersidang susulan proklamasi darurat yang dikuatkuasakan.

Memetik laporan Malaysiakini, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata alasan Ahli Parlimen dari PAS itu untuk mewajarkan tindakan tidak memanggil sidang Parlimen dengan menjadikan pengisyhtiharan darurat pada 1969 sebagai contoh bukanlah satu idea baik.  

Pengisyhtiran darurat kira-kira 52 tahun lalu ekoran ketegangan kaum itu jelasnya masih menyimpan banyak persoalan yang berbangkit dan tidak sepatutnya berulang.

"Sehingga kini insiden itu masih diselubungi misteri," jelas ADUN Tebing Tinggi itu dipetik laporan tersebut.

Takiyuddin membangkitkan isu darurat 1969 bagi menjawab soalan wartawan tentang gesaan sejumlah pihak, termasuk parti politik, supaya kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat dalam masa segera.

"Dua tahun Parlimen tidak bersidang pun, tidak ada masalah dalam perjalanan kerajaan," kata Setiausaha Agung PAS itu merujuk keadaan pada ketika tersebut.

Untuk rekod, Darurat 1969 berkuatkuasa bermula 15 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971 susulan rusuhan antara kaum yang dikenali dengan peristiwa 13 Mei

Sepanjang tempoh itu, negara ditadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang diketuai perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

Sementara itu Abdul Aziz berkata,  antara isu yang perlu dijelaskan berhubung pengisyhtiharan Darurat 1969 ialah siapa yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan pada 1969 sama ada perdana menteri ketika itu - Tunku Abdul Rahman Putra - atau timbalannya - Abdul Razak Hussein - serta alasan ia diperlukan.

Tak  adakan sidang langkah buruk, tegas Aziz
"Tunku dalam memoirnya Before and After May 13 bersikap kritikal terhadap keseluhan hal itu.

"Ringkasnya, bergantung kepada darurat pada 1969 mungkin bukan langkah yang baik.

"Sama macam sekarang - tidak mengadakan sidang parlimen pada 1969 adalah keputusan yang buruk dan ia tidak sepatutnya dicontohi," katanya dipetik.

 

Post a Comment

0 Comments