Apakah Dr Rafidah akan dituduh dibawah ordinan darurat? soal Kit Siang

 


APAKAH Ordinan Darurat mengenai berita palsu akan digunakan terhadap pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah, soal seorang pemimpin pembangkang.

Persoalan itu dibangkitkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang susulan tindakan Dr Rafidah yang sebelum ini menyorot apa yang didakwa sebagai aduan bahawa ada usaha  memotong barisan penerima vaksin Covid-19 oleh pegawai dari pejabat setiausaha negeri (SUK) Kelantan.

"Adakah Dr Rafidah kini bakal berhadapan dengan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat mengenai berita palsu, yang berkuatkuasa hari ini, berhadapan dengan kemungkinan didenda sehingga RM100,000 denda, dipenjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali?" soal Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu seperti dipetik laporan Malaysiakini.

Sebagai rekod, dakwaan mengenai usaha memotong barisan itu sebelum ini tular di media sosial. Kerajaan negeri Kelantan kemudiaan tampil menafikan perkara itu dan  membuat laporan polis mengenainya.

Selepas isu itu kecoh, Malaysiakini dalam laporannya pada 1 Mac memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan kerajaan negeri membuat penyusunan semula senarai penerima vaksin.

Seorang sumber yang enggan namanya didedahkan pula memberitahu portal itu bahawa beliau percaya penyusunan semula berkenaan berkemungkinan dibuat selepas isu itu didedahkan

Beberapa wakil rakyat Kelantan ketika dihubungi portal itu juga mengesahkan jadual penerimaan vaksin mereka ditunda.

"Mula-mula dapat (jemputan), lepas itu ditangguh. Hanya menteri besar dan exco sahaja. Adun sama (tarikh) dengan frontliner di daerah-daerah," kata Adun Kok Lanas, Md Alwi Che Ahmad ketika ditanya portal itu sama ada menerima jemputan untuk menerima vaksin pada 2 Mac.

Mulai hari ini, ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai "berita tidak benar" berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat dikuatkuasakan.

Ordinan itu, yang dinamakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021,  dilihat memberi kuasa besar kepada kerajaan terhadap berita yang disifatkan tidak benar.

Ordinan ini menafsirkan berita tidak benar sebagai "apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea."

 Ordinan itu memperuntukan denda sehingga RM100,000
Ia memperuntukkan denda RM100,000, hukuman penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi penerbitan dan penyebaran "berita palsu" yang berkaitan Covid-19 atau Proklamasi Darurat.

Penguatkuasaanya terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan  dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Post a Comment

0 Comments