AMK gesa New Zealand ekstradisi timbalan menteri balik ke Malaysia


KERAJAAN
New Zealand digesa supaya segera mengekstradisi Edmund Santhara Kumar Ramanaidu kembali ke Malaysia sekiranya pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu telah melanggar undang-undang negara tersebut.

Gesaan itu dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan melalui satu serahan memorandum ke kedutaan negara itu berkaitan status perjalanan timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu ke New Zealand untuk bersama keluarganya sejak lebih 55 hari lalu.

"Edmund Santhara perlu disiasat dan diekstradisi kembali ke Malaysia, jika didapati bahawa dia telah melanggar undang-undang atau peraturan imigresen berkaitan Covid-19 di New Zealand.

"Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand juga perlu menjelaskan protokol, pengaturan dan persetujuan yang diberikan agar seorang timbalan menteri dari Malaysia melakukan perjalanan ke New Zealand," kata Ketua AMK Wilayah Persekutuan P. Prabakaran pada sidang media selepas menyerahkan memorandum itu kepada penasihat polisi dan hal ehwal awam Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Cameron Evans semalam .

Isu ketiadaan Santhara yang merupakan Ahli Parlimen Segamat di kawasan parlimennya mencuri perhatian ramai, terutama ketika rakyat kawasan itu berdepan pendemik Covid-19 dan bencana banjir.

Santhara yang meninggalkan KEADILAN melalui 'Langkah Sheraton' pada tahun lalu untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataanya berkata, beliau berada di negara itu setelah permohonan cuti selama 55 hari bekerjanya disokong Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Disember.

Santhara memberi alasan bahawa keberadaannya di negara itu adalah bagi bersama keluarganya di New Zealand dan menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

Keberadaan Santhara di negara itu turut dipersoal pemimpin politik negara tersebut.  Jurucakap respons Covid-19 Parti Nasional, Chris Bishop mempersoalkan apakah Santhara diberi layanan istimewa di negara itu dengan diberi tempat dalam sistem pengasingan dan kuarantin (MIQ) ketika ramai warga New Zealand sendiri tidak dapat kembali ke negara mereka kerana kemampuan MIQ yang terhad.

Untuk rekod, kerajaan New Zealand terus berdiam diri berhubung sama ada Santhara mendapat layanan istimewa atau tidak.

Sementara itu, Prabakaran yang juga ahli parlimen Batu turut meminta penjelasan dari kerajaan New Zealand mengenai pengurusan dan garis panduan perjalanan Santhara ke New Zealand pada 24 Disember tahun lalu.

"Kami menyerahkan memorandum itu bagi pihak rakyat Malaysia khususnya penduduk di kawasan Segamat.

"Kesan ekonomi dari wabak Covid-19 telah menyebabkan banyak keluarga di Malaysia terjejas hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Bukan itu sahaja, tetapi kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini tidak dapat melakukan perjalanan ke luar negara untuk melawat anak-anak dan ahli keluarga, termasuk mereka di New Zealand.

 AMK gesa Santhara disiasat dan diekstradisi
"Oleh yang demikian, kami meminta penjelasan lebih lanjut bahawa bagaimana Edmund Santhara bukan sahaja dapat meninggalkan Malaysia tetapi juga bersama keluarganya di New Zealand selama 55 hari," katanya.

Dalam memorandum itu juga, Prabakaran memberitahu bahawa dirinya selaku ahli parlimen tidak dapat membawa isu ini ke Dewan Rakyat kerana kerajaan tidak membenarkan sidang parlimen diadakan selepas mengisytiharkan darurat.

Post a Comment

0 Comments