SERAMAI 76 ahli parlimen, adun dan senator pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama bagi menggesa garis panduan media yang lebih adil dan saksama segera dirangka.
Gesaan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat yang memutuskan portal berita Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya.
"Kami berpandangan ia tidak munasabah dan tidak adil untuk mempertanggungjawab sesebuah portal berita di atas pandangan pembacanya.
"Tidak boleh dinafikan bahawa portal berita tersebut telah memadam komen-komen yang menyinggung perasaan 12 minit selepas komen-komen tersebut dibawa ke perhatian pihak pengurusan portal.
Kerjasama penuh telah diberi untuk memadam komen-komen tersebut," kata mereka.
Kenyataan itu ditandatangai pemimpin politik dari KEADILAN, DAP, Amanah, Warisan dan juga bekas menteri belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Menteri Pelajaran, Maszlee Malik.
Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 memutuskan Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.
Jabatan Peguam Negara memohon Malaysiakini didenda sebanyak RM200,000 namun panel hakim yang bersidang menetapkan portal berita terbabit didenda RM500,000.
Denda itu dijelaskan melalui sumbangan orang ramai yang berjaya dikumpul selepas kira-kira 5 jam selepas kempen mengumpul dana untuk membantu portal itu dilancarkan.
Sementara itu, kesemua wakil rakyat terbabit menegaskan bahawa keputusan ini memberi mesej yang amat membimbangkan kepada rakyat Malaysia bahawa kebebasan media dan hak bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan semakin dikekang.
![]() |
Panduan adil dan saksama perlu dirangka |
"Oleh itu, kami menyokong penuh gesaan Majlis Peguam agar digubal undang-undang khusus untuk menentukan takrif ‘penghinaan’ secara teliti, yang seterusnya akan menjadi panduan berguna untuk menegakkan hak bersuara dan kebebasan," kata mereka.
0 Comments