Hannah soal keputusan ACG berhubung kes cemar reputasinya


AHLI PARLIMEN Segambut, Hannah Yeoh menggesa peguam negara menjelaskan mengapakah kes melibatkan satu hantaran berbaur hasutan yang dilemparkan terhadap beliau diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu dalam satu kenyataan mempersoalkan keputusan itu walaupun menurutnya Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebelum ini mendedahkan siasatan mendapati hantaran itu dikaitkan dengan portal muafakatnasional.net .

“Kata-kata palsu yang dibuat terhadap saya menimbulkan kegusaran awam.

"Mengapakah pihak yang mengeluarkan kata-kata palsu itu tidak dikenakan tindakan walaupun KPN secara terbuka mengenal pasti dalangnya?

“Adakah keputusan yang dibuat oleh peguam negara selari dengan peruntukan undang-undang atau terdapat sebab lain
yang tidak ada kaitan dengan undang-undang?” soalnya.

Hannah mahu penjelasan dari ACG


Menerusi catatan di Twitter pada Mac tahun lalu, Yeoh mempersoalkan apakah yang akan berlaku terhadap pelan strategi kebangsaan untuk menangani perkahwinan bawah umur selepas Ahli Parlimen PAS Siti Zailah Mohd Yusoff diangkat sebagai timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat.


Kemudian tersebar poster dalam talian yang menggambarkan Yeoh menyatakan perkahwinan kanak-kanak akan berleluasa kerana penggantinya adalah daripada PAS.

Yeoh menafikan ada membuat kenyataan itu dan dipanggil ke Bukit Aman pada Jun untuk disoal siasat kerana didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan dan pecah keamanan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni.

Bagaimanapun, Hamid  menjelaskan bahawa catatan hasutan yang didakwa berbaur hasutan itu tiada kaitan dengan Yeoh.

"Siasatan mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini ialah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukannya daripada Twitter atau Facebook milik Hannah Yeoh.

"Keterangan suspek telah dirakam dan gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik poster itu juga telah dirampas,”  kata Hamid dipetik laporan Bernama. 

Post a Comment

0 Comments