Tuduhan Yazid Othman tak berasas, Teo Nie Ching bakal saman


BEKAS
timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching akan mengambil tindakan undang-undang terhadap timbalan pengerusi kepada Sekretariat Gabungan NGO Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4), Yazid Othman.

Ia susulan tuduhan kononnya beliau 'campur tangan' dalam mengubah isi kandungan buku teks sejarah sekolah.

Jelasnya perkara mengenai tindakan undang-undang itu telah dibincangkan dengan peguamnya dan ia bagi mempertahankan diri dan kredibiliti semasa menjalankan tugas sebagai timbalan menteri pendidikan," kata Teo Nie Ching ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kesemua tuduhan Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah," tegas Ahli Parlimen Kulai itu.

Yazid  semasa sesi perbincangan bersama Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang disiarkan di laman Facebook, bertajuk ‘buku teks sejarah dimanipulasi-komunis pula diagungkan? pada Jumaat mendakwa ada "tangan ghaib" memanipulasikan kandungan buku teks sejarah Tingkatan Empat termasuk 'mengagung-agungkan komunis' sebagai pejuang kemerdekaan.

Dia membuat dakwaan itu kononnya hasil maklumat yang diperolehinya sendiri selepas bersemuka dengan pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Orang dalaman sendiri memberi maklumat kepada kita, dia terima panggilan telefon daripada timbalan menteri pendidikan Pakatan Harapan (HARAPAN), perempuan berbangsa Cina itu, mengatakan kamu ubah buku sejarah ini dengan maklumat yang saya sedang kirim sekarang.

"15 minit lagi sampai kepada kamu. Bila terima kamu terus cetak," dakwanya dipetik.

Yazid berkata selain wujud campur tangan individu berpengaruh dalam KPM pada ketika itu, dia juga turut mendakwa berlaku penyelewengan fakta dalam olahan buku tersebut apabila beberapa sukatan yang telah disusun ketika pentadbiran BN telah diubah semula.

Untuk rekod, Kementerian pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada bulan April 2018, ketika Malaysia masih berada di bawah pemerintahan Umno-BN.

HARAPAN hanya berkuasa selepas menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 - iaitu selepas buku teks itu diperakui KPM.

Menurut KPM lagi, buku teks tersebut telah diteliti, disemak dan diperakui oleh panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018, yang terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.

 Nie Ching ambik tindakan udnang-undang
Ia telah mematuhi “semua proses penerbitan” bagi menjamin kualiti buku, “termasuk ketepatan fakta” selain disemak dan diperakui oleh panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018, yang terdiri daripada tujuh pakar sejarah daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.

KPM turut menjelaskan penerbitan buku teks itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan 4 yang kandunganya berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).



Post a Comment

0 Comments