SEORANG bekas Ahli Parlimen menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong membenarkan persidangan Parlimen kembali diadakan dalam tempoh proklamasi darurat telah menghalang kerajaan Muhyiddin Yassin bertindak sewenang-wenang.
Dipetik laporan portal FMT, Ab Aziz Kaprawi berkata, titah tersebut turut memberi kelegaan dan harapan ramai supaya amalan demokrasi berparlimen dapat disambung.
Menurutnya, sejak proklamasi darurat dilaksanakan dengan alasan untuk memerangi Covid-19, belum ada mana-mana peruntukan bawah Akta Darurat diguna pakai bagi menangani wabak tersebut.
Justeru jelasnya, rakyat melihat pelaksanaan darurat hanya sebagai “lesen” kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berkuasa sepenuhnya.
“Sepanjang tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diwartakan oleh kerajaan awal tahun lalu jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan.
“Rakyat sendiri mempersoalkan logik kerajaan apabila sedikit demi sedikit kelonggaran diberikan terhadap SOP, tetapi masih mewartakan majoriti negeri dalam keadaan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan.
Antara kelemahan itu jelasnya termasuklah perubahan dalam pelaksanaan SOP dan pendirian mengenai keperluan membuka semula sekolah yang akhirnya menyusahkan rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata Sultan Abdullah bertitah bahawa tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.
Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran Perlembagaan, dan setiap cabang pentadbiran, iaitu eksekutif, kehakiman dan Parlimen harus sentiasa akur kepada prinsip tersebut.
BACA: Muhyiddin digesa segera nasihat Agong untuk panggil sidang Parlimen
Sementara itu Aziz berkata, beliau percaya melalui sidang Parlimen segala tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis dapat disemak oleh Ahli Parlimen supaya tidak berlaku perkara yang melibatkan kepentingan politik atau peribadi dalam keputusan yang diambil.
![]() |
Titah Agong dianggap beri kelegaan |
“Hal ini amat penting dalam menghadapi tiga krisis utama yang melanda negara kita, iaitu krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis kerajaan minoriti,” kata bekas Timbalan Menteri itu lagi.
Sebagai rekod, ramai Ahli Parlimen terutama dari HARAPAN sebelum ini mendesak supaya persidangan Parlimen diadakan, selain bagi memastikan semak dan imbang dapat terus dijalankan, ia tegas mereka penting supaya isu berkaitan kepentingan rakyat dapat dibahaskan.
0 Comments