POLIS dilapor menyerbu syarikat penerbitan GerakBudaya Enterprise di Petaling Jaya berhubung buku bekas peguam negara Tommy Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’ .
Dipetik FMT, dalam serbuan yang dilakukan semalam, pihak polis merampas dua komputer dari pejabat tersebut.
Pengasas GerakBudaya Chong Ton Sin berkata, pegawai polis terbabit berada di pejabatnya lebih dari satu jam.
“Mereka datang kira-kira 11 pagi dan pulang sekitar tengah hari. Mereka tidak banyak bercakap sekadar memberitahu mahu mengambil komputer.
“Ia cukup mengganggu,” katanya dipetik laporan itu.
Susulan rampasan itu jelasnya, pihaknya terpaksa menangguhkan kerja kerana banyak data berkaitan tugasan harian tersimpan dalam komputer tersebut.
Buku tulisan Thomas setebal 500 halaman itu mencetus kontroversi sehingga 134 laporan polis dibuat terhadap bekas peguam negara itu.
Ia menyentuh isu perletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, kes berkaitan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan banyak lagi.
Susulan pendedahan dibuat Tommy dalam buku tersebut, ia mendapat sambutan luar biasa dengan telah diulang cetak sebanyak dua kali dan GerakBudaya dilapor dalam perancangan untuk mencetaknya untuk kali ketiga.
![]() |
Dua komputer dilapor dirampas |
Sebelum ini, pegawai dari Bukit Aman juga ah mengambil keterangannya berhubung buku itu, dua kali sebelum Tahun Baharu Cina lalu.
0 Comments