Putrajaya, KPM, tak ikut falsafah ‘pendidikan untuk semua’, kata Maszlee


BEKAS
menteri pendidikan Maszlee Malik menyelar pentadbiran Perikatan Nasional dan Kementerian pendidikan (KPM) yang menurutnya tidak mengikuti falsafah “pendidikan untuk semua”.

Bercakap dalam dalam forum bertajuk “Bicara Pendidikan: Keutamaan Yang Diabaikan” anjuran Institut Darul Ehsan, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata ia sekali gus menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dari aspek pendidikan dalam kalangan pelajar seluruh negara.

Apa yang dibimbangi jelasnya, ketidakseimbangan yang berlaku hari ini akan memberi kesan dalam kehidupan pelajar untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Banyak keputusan yang diambil kerajaan dan KPM tidak berpijak pada konsep ini.

“Maka, terdapat golongan diabaikan dan inilah yang kita kesalkan. Ia akan menyebabkan kesenjangan antara masyarakat, antara golongan yang memiliki atau tidak, kampung dan bandar," katanya dalam forum yang disiar menerusi laman Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu tambah Maszlee, Apa yang berlaku itu tidak selari dengan matlamat kerajaan persekutuan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2020)

“Kita risau kalau tidak ada intervensi yang radikal diambil untuk rapatkan semula kesenjangan ini, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang didendangkan akan jadi Wawasan Kesenjangan Bersama,” jelasnya.

Difahamkan, WKB beriltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun secara mapan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat pada 2030.

Sementara itu beliau turut memberi amaran sekiranya masalah membabitkan pelajar tidak diatasi dengan serius, beliau percaya isu yang mengganggu gugat keharmonian negara akan terus diperbahaskan untuk suatu tempoh yang lama.

Bimbang beri kesan kepada generasi pelajar
Ini termasuklah isu perbezaan kelas ekonomi, kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Jadi pada saya perlu kembalikan falsafah ‘pendidikan untuk semua’, jangan ada yang ditinggalkan, diabaikan dan ia juga adalah tanggungjawab bersama.

“Langkah yang perlu diambil juga tidak boleh lagi bersikap konvesional, perlu berani, radikal dan komitmen yang bersepadu kerana saya agak risau tentang keciciran,” katanya.

Post a Comment

0 Comments