Parlimen perlu diadakan dalam masa terdekat - wakil jawatankuasa bebas


WAKIL Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menganggotai jawatankuasa bebas khas mengenai darurat berpendirian, kerajaan wajar mengadakan sidang parlimen segera walaupun darurat masih berlangsung.

Pendirian itu dinyatakan Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dan Pengarah Strategi Amanah Dzulkefly Ahmad yang menganggotai jawatankuasa itu melalui satu kenyataan bersama.

“Kami, ahli-ahli parlimen berpendirian bahawa persidangan parlimen seharusnya diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

“Persidangan parlimen boleh diadakan dengan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti yang telah dilaksana sepanjang sidang parlimen pada tahun 2020,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Mereka turut memaklumkan jawatankuasa bebas tersebut - yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong - sudah mengadakan mesyuarat kali pertama pada 18 Feb lalu.

Tambah mereka, kebenaran untuk sidang parlimen diadakan penting agar segala agenda dan langkah-langkah membendung Covid-19 dapat dibahaskan dan memastikan mekanisme semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif dapat berfungsi.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya.

Justeru kata kenyataan itu mereka akan terus menyampaikan pandangan berkenaan secara tekal dalam mesyuarat akan datang jawatankuasa tersebut dan berharap ia dipersetujui bersama untuk menasihati Agong.

Tindakan pentadbiran Muhyiddin Yassin menggantung sidang Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat mengundang kritikan ramai.

Sesetengah pihak beranggapan ia sebagai langkah untuk Ahli Parlimen Pagoh itu untuk terus kekal berkuasa walaupun didakwa sudah hilang majoriti Ahli Parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said melalui sepucuk surat kepada Peguam Negara, Idrus Harun mengatakan keputusan menggantung parlimen menunjukkan bahawa cabang legislatif telah dilumpuhkan.

Ia turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Asean apabila 90 ahli parlimen dari tujuh negara turut menggesa Agong dan perdana menteri membenarkan parlimen bersidang secepat mungkin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Muhyiddin Yassin menasihati seri Paduka Baginda untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Bagi memastikan proses  semak dan imbang terpelihara


Dalam permohonan difailkan Anwar 25 Januari lepas, beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.


Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah.