MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali wajar dipecat kerana gagal menjalankan tugasnya dengan baik sebagai menteri, tegas seorang pemimpin PKR Sabah.
Razeef Rakimin yang merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu berkata, seseorang yang lebih mementingkan ekonomi negara perlu dilantik menggantikan Azmin yang menurutnya lebih mementingkan agenda peribadi.
”Saya melihat hanya ada dua cara bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh melonjakkan sedikit ekonomi negara, iaitu sama ada Azmin meletak jawatan selepas gagal selaku menteri kanan (Ekonomi) atau Muhyiddin memecat beliau,” kata Razeef dalam kenyataan.
Tambahnya, kegagalan Azmin menangani krisis ekonomi negara susulan penularan wabak Covid-19 jelas membuktikan beliau tidak mampu dan layak memegang jawatan menteri yang berkaitan dengan ekonomi.
”Dalam situasi paling teruk dihadapi oleh Muhyiddin, beliau dibantu oleh Azmin yang sememangnya gagal.
“Ini menjadikan pentadbiran Muhyiddin dilihat semakin teruk, bukan sahaja di mata rakyat ,malah di mata pelabur dari luar negara," tegasnya.
Razeef turut membangkitkan kemerosotan indeks pelaburan langsung asing (FDI) sehingga 68% yang jauh lebih teruk berbanding negara Asean lain.
Tambahnya, pendemik Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan kepada kejatuhan itu kerana banyak negara di dunia yang menghadapi krisis Covid-19 yang jauh lebih teruk daripada Malaysia, namun berjaya menghadapi krisis ekonomi dengan baik.
Negara-negara itu juga jelasnya berjaya mempertahan ekonomi mereka dan tidak berdepan kehilangan keyakinan pelabur seperti dialami Malaysia.
![]() |
Muhyiddin digesa pecat Azmin |
”Beliau dilihat tidak mampu membawa pelaburan, apatah lagi mencari inisiatif bagi membangunkan ekonomi negara,” katanya sambil menambah, keadaan politik tidak stabil dimana negara ditadbir kerajaan tanpa majoriti telah menjadi salah satu faktor pelabur menjauhkan diri.