DAPSY mahu SPRM siasat Rina Harun


PEMUDA
DAP (DAPSY) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sumber kekayaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Ia selepas pemimpin parti Bersatu itu dilapor berjaya melunaskan hutang RM1.3 juta kepada sebuah syarikat filem yang berpusat di Paris untuk mengelakkan diisytiharkan muflis.

Naib Ketua Jenny Choy berkata, menurut data pengisytiharan aset SPRM, aset milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu hanya berjumlah RM72,000.

“Dengan pendapatan sebagai menteri sebanyak RM34,034 sebulan dan jika pendapatannya tidak berubah dan kekal sejak 2019, ia mengambil masa selama kira-kira 40 bulan bagi mengumpul dana untuk menyelesaikan notis kebangkrapan yang (dihadapinya).

“Itu pun, dengan syarat dia tidak menggunakan satu sen dari pendapatannya,” kata Jenny selepas membuat laporan itu di pejabat SPRM negeri Perak di Ipoh.  

Jenny yang juga ADUN Canning turut berkata, SPRM harus menyiasat sama ada Rina menerima pendapatan tambahan yang berjumlah besar dan “adakah beliau telah membuat penyataan palsu pada Nov lalu berhubung milikan asetnya?”

Sebagai seorang menteri dan penjawat awam, Rina tegasnya perlu memberikan penjelasan kepada rakyat.

Sebuah syarikat Perancis sebelum ini mengemukakan saman terhadap Rina pada 8 November 2018, menuntut agar jumlah penuh dibayar pada 31 Julai 2019.

Tuntutan itu adalah untuk beberapa filem, rancangan komedi dan dokumentari dalam genre komedi yang dijual kepada tiga syarikat di mana Rina adalah pengarah.

 Rina dilapor berjaya selesaikan hutangnya
Peguam Mark Ho Hing Kheong, yang mewakili Sarl Novovision berkata, jumlah tepat, yang enggan didedahkannya, dibayar minggu lalu.

Pernyataan tuntutan terhadap Rina difailkan pada 8 Nov 2018 oleh firma Perancis itu dengan jumlah penuh perlu dibayar sebelum 31 Julai 2019.
 

Post a Comment

0 Comments