AHLI PARLIMEN di Kuala Lumpur tidak akan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Konsultasi Wilayah Persekutuan (JaKoWIP) dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa esok.
Dalam satu kenyataan, sembilan Ahli Parlimen itu berkata keputusan itu susulan gesaan mereka supaya pertemuan khusus mereka dengan Annuar Musa sebelum ini tidak dilayan dan terdapat beberapa perkara dasar yang tidak dapat mereka terima termasuk isu terma rujukan, ahli mesyuarat serta aturan mesyuarat.
“Kami telah memohon agar perkara-perkara yang dibangkitkan ini dipinda, dan satu pertemuan khusus di antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli-Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diadakan segera.
“Malangnya, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan dalam surat bertarikh 24 Dis lalu hanya menyatakan bahawa syor-syor kami sedang diperhalusi, dan tiada pertemuan khusus yang akan disegerakan seperti yang diminta,” kata mereka dalam kenyataan media.
Ahli Parlimen berkenaan adalah Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Teresa Kok (Seputeh), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Hannah Yeoh (Segambut), P Prabakaran (Batu) dan Lim Lip Eng (Kepong).
Menurut Ahli Parlimen berkenaan perkara-perkara asas yang dibangkitkan dalam surat mereka pada 7 Dis lalu belum dijawab.
Malah pindaan termasuk isu penyertaan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang merupakan lantikan politik sebagai ahli mesyuarat juga belum dilakukan.
Sebagai rekod, Pada 6 Jan lalu, Ahli Parlimen di Kuala Lumpur menggesa Annuar segera memberikan maklum balas terhadap surat yang dihantar mereka pada 7 Dis lalu.
Mereka ingin berbincang dengan Annuar mengenai isu penubuhan JaKoWIP, Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kementeriannya.
Menurut mereka lagi, JaKoWIP adalah sebuah jawatankuasa yang dirangka sebagai pengganti kepada format Majlis Menteri Wilayah yang wujud semasa pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sementara itu, mereka turut menggesa supaya Annuar menghormati mandat diberikan penduduk Kuala Lumpur kepada mereka pada Pilihan Raya Umum lalu.
![]() |
Annuar Musa digesa hormat mandat rakyat |
“Oleh itu, Menteri Wilayah Persekutuan perlu menghormati mandat tersebut dan segera mengadakan mesyuarat khusus bersama kami untuk meneliti serta menyelesaikan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.” tambah mereka.
0 Comments