Azalina 'bingung' kerajaan PN gantung sidang Parlimen


KEPUTUSAN Muhyiddin Yassin menggantung sidang Parlimen telah menyebabkan pihak eksekutif seolah-olah mentadbir secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada institusi perundangan tertinggi di dalam Negara itu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun, seperti dilapor media.
 
Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia tidak mahu berusaha melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain sedangkan jelasnya ia masih boleh dijalankan ketika pendemik dengan  mengurangkan penyertaan ahli Parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.

Azalina memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan "jemaah menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen".

"Saya perlu tekankan bahawa pertanggungjawaban kementerian (ministerial responsibility) dalah penting dalam sistem Parlimen kerana ia menjamin kebertanggungjawaban kerajaan kepada legislatif, dan maka, kepada pengundi secara keseluruhan," katanya.

Azalina berkata lagi, penggantungan Parlimen membangkitkan beberapa soalan, antaranya bagaimana eksekutif akan dipertanggungjawabkan dalam keputusan yang dibuat, dan apakah sebab untuk turut melarang jawatankuasa khas daripada meneruskan tugas mereka.

Melalui surat tersebut juga, Azalina berharap Idrus dapat menimbang untuk menasihatkan agar Kabinet sekarang digantung dan digantikan dengan Kabinet Khas Darurat yang hanya merangkumi kementerian yang relevan pada masa ini.

Penggantungan  Parlimen bangkitkan persoalan
"Kabinet Khas Darurat ini boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa terhad sehinggalah Darurat tidak lagi dikuatkuasakan.

"Pada masa sama, jawatankuasa parlimen khas yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang antara lain untuk melaksanakan pertanggungjawaban kementerian dan melaksanakan semak dan imbang yang perlu," katanya lagi.




Post a Comment

0 Comments