HARAPAN saran warga emas masuk dalam Fasa 1 program imunisasi


PAKATAN HARAPAN
(HARAPAN) menggesa kerajaan mempertimbangkan supaya warga emas di rumah orang-orang tua dimasukkan dalam senarai penerima Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Saranan itu dibuat Jawatankuasa vaksinasi Covid-19 HARAPAN dianggotai sembilan anggota dan dipengerusikan bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Melalui satu kenyataan, mereka berkata, gambaran daripada Kluster Geronggang dan Mas Merah di Sarawak, yang melaporkan 51 kes jangkitan dan 1 kematian, dan Kluster Jalan Cheras yang melaporkan 24 kes jangkitan menunjukkan ada keperluan untuk mengutamakan vaksinasi bagi warga emas.

Cadangan memberi vaksin kepada golongan itu tegas mereka sebagai sebahagian usaha mengurangkan kadar kematian dan beban kesihatan bagi golongan itu.
 
“Mereka golongan paling rentan untuk menerima kesan lebih teruk dan risiko kematian lebih tinggi akibat usia mereka dan penyakit-penyakit yang dialami,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Jawatankuasa itu juga menarik perhatian kerajaan kepada masalah sebaran wabak di rumah jagaan warga emas, yang menurutnya fenomena global.

“Di Malaysia, daripada 2.3 juta warga emas berusia atas 65 tahun, sekitar 30,000 hingga 40,000 tinggal di rumah jagaan warga emas dan terdapat 8,000 pekerja yang bekerja di rumah jagaan warga emas ini.

“Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 1,500 rumah jagaan warga emas dan hanya 350 daripadanya berdaftar,” tambah mereka lagi.

Sebagai rekod, Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech pada 21 Feb, diikuti dengan pelaksanaan program imunisasi kebangsaan pada 26 Feb.

Golongan berusia mempunyai risiko lebih tinggi
Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Feb sehingga Apr 2021.

Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 sehingga Feb 2022.


Post a Comment

0 Comments