Ahli Parlimen gesa KPN pandang serius isu gangguan seksual


AHLI PARLIMEN Kuantan, Fuziah Salleh mendesak Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memandang serius laporan berkenaan isu gangguan seksual yang didakwa melibatkan anggota polis.

Dipetik laporan media, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, beliau bimbang perkara itu akan merosakkan imej pasukan beruniform itu tambahan masyarakat sendiri mengharapkan pihak berkuasa menjadi benteng terakhir terhadap isu gangguan tersebut.

BACA: Bekas menteri gesa PN segera bentang RUU gangguan seksual

Justeru tegasnya, kerajaan perlu menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual ke Dewan Rakyat secepat mungkin.

"Itulah sebabnya kami memerlukan Akta Gangguan Seksual. Mereka yang berada dalam perkhidmatan awam, terutama barisan depan, adalah tonggak kekuatan kami semasa wabak ini.

"Kami menghargai sumbangan mereka dan mengharapkan mereka menjadi yang terakhir untuk tidak menyalahgunakan kedudukan mereka," katanya dipetik.

Semalam, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas timbalannya Hannah Yeoh melalui satu kenyataan bersama turut menggesa supaya RUU yang diusahakan pada era pemerintahan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu diteruskan dan disegerakan.

Ia susulan pada 11 Februari, seorang wanita mengadu seorang anggota polis menahannya di sekatan jalan raya dan mendapatkan maklumatnya, kemudiannya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berkenalan.

Kejadian itu mengakibatkan lebih ramai wanita untuk berkongsi pengalaman mereka dengan polis di sekatan jalan raya, terutama melibatkan gangguan seksual.


Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai polis didakwa menyoal seorang wanita kerana tidak memakai coli.

Polis benteng terakhir pertahan masyarakat
Sebagai rekod, RUU Gangguan Seksual itu sepatutnya dibentangkan di parlimen tahun lalu tetapi tertangguh berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun untuk memberi maklumat terkini mengenai RUU Gangguan Seksual.

"Rina, memandangkan banyak pendedahan wanita yang diganggu secara seksual oleh pegawai penguatkuasa undang-undang, pengendali penghantaran, doktor, pensyarah, peguam, senarai itu terus berlanjutan - adakah draf akhir #SexualHarassmentBill sudah siap," soalnya.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun berkata dilapor media sebagai berkata, draf rang undang-undang itu kini pada peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Penguam Negara.

Bagaimanapun sama ada ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya susulan pengisythiharan darurat dan penggantungan parlimen oleh Perikatan Nasional.

Muhyiddin Yassin dilapor merancang mengadakan pilihan raya umum sebaik darurat berakhir mengakibatkan pembentangan rang undang-undang itu dilihat akan ditangguhkan lagi.

Ahli Parlimen Pembangkang sebelum ini mengkritik keputusan Muhyiddin menggantung Parlimen, selain menyebabkan banyak isu membabitkan kepentingan rakyat tidak dapat dibahasakan, ia dianggap helah bagi Ahli parlimen pagoh itu mempertahankan kuasa setelah didakwa hilang majoriti sokongan.

Post a Comment

0 Comments