Bekas menteri gesa PN segera bentang RUU gangguan seksual


KEMENTERIAN
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) didesak segera membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual di Dewan Rakyat.

Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas timbalannya Hannah Yeoh dalam kenyataan bersama.

Tegas mereka, RUU itu perlu dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, dibahas dan diluluskan supaya orang awam khususnya wanita akan berasa lebih selamat dan dilindungi.  

"Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri," menurut kenyataan itu.

Dr Wan Azizah yang merupakan  Ahli Parlimen Pandan dan Hannah (Segambut) sebelumnya mengulas laporan media berhubung kes gangguan seksual terhadap seorang wanita melibatkan pegawai polis di satu sekatan jalan raya.

Gangguan seksual membabitkan perkataan lucah tegas mereka sudah cukup membuatkan wanita tersebut tidak selesa, marah dan ketakutan sehingga memandu kereta dalam keadaan trauma.

Katanya, keadaan itu tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain kecederaan emosi dan mental yang baru beliau (mangsa) lalui.

"Kejadian seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang pegawai polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta baru-baru ini amat dikesali apatah lagi membabitkan individu yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam terutama wanita.

"Kami mahu kejadian ini diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak bertanggungjawab khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melibatkan seorang pegawai polis," tambah mereka.
 
Media yang memetik kenyataan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap dua wanita di sekatan jalan raya (SJR) di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Saya difahamkan kejadian pertama berlaku di SJR Jalan Duta iaitu seorang anggota polis yang menegur seorang pemandu wanita tidak memakai bra (baju dalam).

"Kejadian kedua pula dikatakan berlaku di SJR Pulau Pinang berhubung anggota polis meminta nombor telefon seorang pemandu wanita, kemudian menghubunginya untuk berkenalan," katanya dipetik.

Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba memperkenalkan akta berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial bagi melindungi hak dan kehormatan wanita

Pada Januari 2020, ia antara keutamaan Kementerian  PWKM yang ketika itu diketuai Dr Wan Azizah dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun lalu.

 Tertangguh setelah PN ambil Putrajaya
Bagaimanapun, ia terhenti apabila Kerajaan Persekutuan bertukar kepimpinan melalui "Langkah Sheraton'.

Setelah Muhyiddin Yassin berkuasa, Rina Harun kemudian dilantik mengetuai kementerian itu dengan Ahli Parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusoff dilantik sebagai timbalan.


Post a Comment

0 Comments