Menteri didakwa langgar SOP, apa tindakan Muhyiddin?


PIHAK
berkuasa polis memanggil Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin seperti dilapor portal FMT.

“Kertas siasatan sudah dibuka,” kata dipetik laporan itu.

Annuar baru-baru ini dikritik selepas gambarnya yang dilihat duduk di meja yang sama dengan enam individu lain semasa lawatan ke projek pusat komuniti di Cheras pada Jumaat tular.

Dalam catatan di Facebook, bekas setiausaha agung Barisan Nasional itu berkata beliau hanya “duduk sebentar” dan beredar selepas menyedari pihak penganjur tidak mengikut SOP.

Bagaimanapun, alasan itu dipersoal Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang menyifatkan Annuar sikap orang yang tidak mahu mengaku salah.

"Sekali lagi Annuar bagi alasan dia cuma duduk sebentar sebelum bergegas pergi kerana penganjur tidak kut SOP.

"Kalau sudah tahu tidak ikut SOP kenapa duduk juga di situ walau sebentar. Mana logiknya

"Ada sahaja alasan yang diberi untuk tidak mahu mengaku salah," kata Pua," soal Puad pada hantaran di media sosial.

Gambar yang tular itu turut menarik perhatian Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dipetik satu laporan media Lim berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Annuar dan Ahli Parlimen Ketereh itu mesti membuat permohonan maaf.

Menurutnya, ini bukan kali pertama Annuar didakwa melanggar SOP. Sebelum ini, Annuar memuat naik gambar dia beriadah bersama dua individu lain, ketika kegiatan luar lebih daripada dua invididu adalah dilarang.

"Anehnya, tiada tindakan undang-undang ke atasnya kerana pertemuan (dengan dua individu itu) disifatkan berlaku secara kebetulan," katanya sambil mengingatkan ia bertentangan dengan ucapan  Muhyiddin Yassin bahawa tiada dwistandard dalam penguatkuasaan peraturan berkaitan Covid-19.
   
Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub pula mempersoalkan tindakan yang akan diambil perdana menteri terhadap menterinya yang didakwa melanggar SOP.

Mahu tindakan tegas dikenakan
"Perdana menteri buat apa bila menteri-menteri langgar SOP? Setiap hari terpekik minta rakyat patuh SOP, kerajaan apa ini?

"Cukup-cukuplah memperhambakan rakyat dengan SOP yang semakin bercelaru," katanya di Twitter.