DUA Pakar kesihatan menyifatkan pusingan kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) gagal menurunkan jumlah kes Covid-19.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr M Subramaniam dan bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye dipetik laporan media berkata, PKP 2.0 tidak akan mengurangkan kes Covid-19 walaupun jika ia dilanjutkan satu atau dua minggu lagi kerana langkah tersebut gagal mengurangkan jangkitan.
Mereka mendesak supaya Putrajaya tidak lagi melanjurkan sekatan separuh yang dijadualkan berakhir pada 18 Feb ini.
“Sekarang, orang ramai berada di mana-mana. Di pasar tani dan pasar malam, mereka saling bersentuhan.
“Lebih baik tamatkan PKP dan laksanakan penguatkuasaan yang ketat,” kata Subramaniam menurut laporan FMT.
Beliau turut menegaskan bahawa berbanding sekatan separuh yang dilaksana sekarang, hanya sekatan menyeluruh dapat mengurangkan bilangan kes.
Pandangan itu disuarakannya susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Noor bahawa kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 meningkat lagi pada Sabtu iaitu pada kadar 0.92, iaitu naik sedikit daripada 0.91 sehari sebelumnya dan 0.88 pada 11 Feb.
Kadar Rt mengukur jumlah purata individu rentan yang akan dijangkiti oleh setiap pesakit Covid-19 baharu pada satu-satu masa.
Pandangan serupa disuarakan bekas timbalan Menteri Kesihatan. Lee berkata, PKP tidak membuahkan hasil dan perintah sekatan menyeluruh lebih berkesan dalam mengawal penularan wabak tersebut selain memperluas pengesanan dengan mengadakan ujian besar-besaran.
![]() |
Sekatan separuh dianggap gagal bendung wabak |
“PKP, seperti yang kita boleh lihat, tidak berhasil dan kerajaan tidak dapat melaksanakan perintah sekatan menyeluruh kerana ia boleh menjejaskan ekonomi.” tambahnya sambil menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengkaji semula sebab-sebab PKP 2.0 gagal dan mengambil langkah yang akan membantu mengurangkan kes Covid-19.
Selain itu beliau turut menggesa SOP lebih ketat ditetapkan termasuk di restoran dan tempat keagamaan selain menghentikan kuarantin pesakit Covid-19 di rumah wujud 70% kemungkinan ahli keluarga lain dijangkiti.
“Tiada siapa yang mengawasi mereka di rumah dan wujud risiko tidak membawa pesakit positif ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” kata Lee lagi.
0 Comments