Tiga bekas menteri HARAPAN sertai jawatankuasa bebas


PAKATAN HARAPAN telah mengemukakan nama tiga pemimpin dalam gabungan itu bagi dicadangkan untuk menyertai jawatankuasa bebas bagi memberikan syor kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan darurat.

Mereka ialah tiga bekas menteri yang terdiri daripada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saifuddin Nasution Ismail, Anthony Loke (bekas Menteri Pengangkutan) dan Dr Dzulkefly Ahmad (bekas Menteri Kesihatan).

Pemakluman itu dibuat melalui satu kenyataan dikeluarkan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN)  hari ini.

Difahamkan, jawatankuasa itu akan terdiri daripada kumpulan ahli parlimen kerajaan serta pembangkang, selain pakar.

Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengambil bahagian dalam jawatankuasa bebas tersebut.

Bagaimanapun kenyataan Majlis Setiausaha HARAPAN hari ini disertakan dengan pendirian bahawa penyertaan wakil pembangkang ke dalam jawatankuasa bebas terbabit sama sekali tidak mengubah pendirian gabungan itu bahawa alasan-alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat sebagai tidak dapat diterima.

Mereka berpendirian bahawa sidang parlimen bagi membolehkan isu-isu berkaitan Covid-19 dan kelangsungan hidup rakyat dibahaskan perlu dijalankan seperti sedia kala.

"Kami serta majoriti ahli parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan parlimen perlu bersidang segera," kata mereka.

 Tetap tegas menolak alasan Muhyiddin
Muhyiddin dalam pengumumannya mengantung sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sepanjang tempoh darurat.

Langkah tersebut mendapat kritikan pelbagai pihak dan sesetengahnya menganggap ia dibuat bagi menyelamatkan Presiden Bersatu itu yang kini tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Post a Comment

0 Comments