Beli vaksin : Menteri Wilayah digesa contohi Kerajaan Selangor


SEORANG Ahli Parlimen di Kuala Lumpur menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan mencontohi langkah kerajaan Selangor dalam usaha mendepani ancaman wabak Covid-19.

Lim Lip Eng (HARAPAN -Kepong) berkata menteri Wilayah Annuar Musa ada kuasa dan kemampuan untuk melaksanakan program dan menyediakan keperluan asas terutamanya untuk kepada golongan warga emas, orang kurang berkemampuan, gelandangan, dan anggota petugas barisan hadapan seperti apa yang diusahakan Selangor.

Melalui satu kenyataan Lip Eng berkata, usaha itu tidak mustahil dilakukan kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai simpanan bernilai ratusan juta ringgit - dalam bentuk deposit tetap.

"Saya juga menyarankan Annuar untuk membeli lima juta dos vaksin Coronavirus khas untuk warga Kuala Lumpur, sama seperti perancangan kerajaan Selangor untuk membeli dos vaksin dengan jumlah yang sama," katanya.

Selangor pada minggu ini mengumumkan pelbagai inisiatif bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri itu melalui pakej #KitaSelangor.

Dengan impak kewangan hampir RM74 juta. Ia membabitkan beberapa program rangsangan dan bantuan yang dibuat bagi meringan beban rakyat dan membantu keperluan anggota petugas barisan hadapan yang menguruskan wabak Covid-19 di negeri itu.

Melalui inisiatif itu juga, Selangor menyediakan bantuan kepada Pahang, Kelantan dan Terengganu yang terjejas oleh banjir baru-baru ini.

Kerajaan negeri turut merancang untuk membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 untuk diagih-agihkan kepada rakyat negeri itu.
 
Menurut Lip Eng Selangor sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang mendengar rintihan dan keluhan rakyat.

 Lip Eng saran Annuar beli vaksin seperti S'gor
"Keprihatinan rakyat seperti ini wajar dicontohi Annuar untuk membantu penduduk Kuala Lumpur mengharungi cabaran Covid-19.

"Kuala Lumpur adalah antara negeri yang tinggi kes Covid-19, justeru perlindungan berbentuk vaksin ini wajar diberikan dengan kadar segera," katanya lagi. 

Post a Comment

0 Comments